Saarani puas hati prestasi Exco Perak

Saarani (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Geran Asnaf Berjaya Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada pengusaha ternakan kambing, Mohd Baharuddin Hashim.
Saarani (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Geran Asnaf Berjaya Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada pengusaha ternakan kambing, Mohd Baharuddin Hashim.
A
A
A

GERIK - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berpuas hati dengan prestasi barisan Exco Kerajaan Negeri selepas hampir lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, sepanjang tempoh lapan bulan itu, setiap ahli memberikan komitmen kerja tinggi sehingga Mesyuarat Exco dapat dijalankan tanpa pernah gagal.

"Saya rasa prestasi kita baik, walaupun berlaku perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi tidaklah sampai berkelahi.

"Sudah tentu ada kelemahan sana sini, tetapi kita tidak melihat kepada kelemahan sebaliknya kongsikan kelebihan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bagi daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini pada Khamis.

Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan itu merupakan siri ke-6 dalam meneruskan tradisi barisan pentadbiran termasuk Exco Kerajaan Negeri turun padang menyelami permasalahan rakyat.

Saarani berkata, sejak siri pertama, sebanyak 852 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu hampir 95 aduan telah berjaya diselesaikan.

Katanya, aduan yang belum dapat diselesaikan atau masih dalam tindakan kebanyakannya melibatkan isu peringkat Kerajaan Persekutuan, permohonan tanah persendirian, baik pulih jalan raya di daerah dan masalah penangkapan haiwan liar.

"Kita akan teruskan sebab nampak rakyat gunakan peluang ini hadir untuk membolehkan mereka berjumpa Menteri Besar, Exco dan barisan pentadbiran jabatan negeri dan daerah secara terus.

"Dengan adanya hari pengkhususan ini, orang ramai tak boleh la komplen tak dapat jumpa Menteri Besar dan sebagainya kerana semua ada di sini," katanya.

Sempena majlis itu, Saarani turut menyempurnakan pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang berlangsung di Singapore Expo Hall, Singapura pada 27 hingg 30 Julai ini.

Program itu akan diketuai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak.

Pada 22 November 2022 lalu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tiga wakil BN daripada UMNO membarisi Exco kerajaan negeri Perak iaitu Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang), Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).

Turut tersenarai tujuh wakil gabungan parti dalam PH iaitu empat ADUN DAP, A Sivanesan (Sungkai), Teh Kok Lim (Aulong), Loh Sze Yee (Jalong), Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili Sandrea Ng (Teja) dan Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah) manakala Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) daripada Parti Amanah Negara (Amanah).