[VIDEO] Sokongan terhadap ahli politik biar berpada-pada - Rafizi

A
A
A

ALOR SETAR - Sokongan melampau penyokong Perikatan Nasional (PN) terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dikhuatiri menyebabkan Menteri Besar Kedah itu ghairah bercakap apa sahaja.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, disebabkan itu, beliau menasihatkan penyokong Kerajaan Perpaduan tidak mencontohi tindakan penyokong PN tersebut.

"Saya perhatilah, orang yang macam ini dia 'naik syeikh'. Sebab itu juga saya nak nasihatkan kepada penyokong-penyokong Kerajaan Perpaduan ini, sokong bagus tapi jangan jadi macam 'walaun'.

"Sokong sampai Sanusi kena dakwa. Sebab Sanusi bila makin ghairah (bercakap), dia hentam sana sini, dia hina sana, biadab sana sini, dia dah sampai ke peringkat, dia rasa dia cukup hebat, sampai akhir sekali dia hina institusi raja," katanya.

Rafizi berkata sedemikian ketika berucap pada Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, di Padang Awam Taman Wira Mergong,di sini, malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, Muhammad Sanusi suka merendah-rendahkan orang lain disebabkan tidak memiliki keyakinan diri.

Rafizi
Rafizi

"Sanusi dia rasa hebat, dia rasa dia ini lebih popular daripada semua orang lain, maka sebab dia popular maka dia ada hak untuk hina orang.

"Tapi (secara) psikologinya, orang yang suka menghina, merendah-rendahkan orang lain, sebabnya dia sebenarnya tak yakin dengan diri dia sendiri," katanya.

Rafizi berkata, Menteri Besar Kedah itu pastinya tidak akan mengutuk individu lain sekiranya dia benar-benar yakin pada diri,kekuatan pentadbiran dia dan ada rekod yang baik mengenai pentadbiran di Kedah.

"Tak payah kutuk orang lain. Cakap apa yang kamu dah buat setakat ini, apa yang dia dah buat untuk Kedah," katanya.

Menurut Rafizi lagi, sehingga kini, Muhammad Sanusi dilihat tidak dapat membentangkan kerja dilakukan terhadap Kedah sepanjang menggalas jawatan tersebut.

"Apa yang dia perbaiki dari segi ekonomi. Apa rancangan dia kalau dia terus jadi Menteri Besar Kedah. Sebab itu, taktik orang politik kalau dia tak boleh jawab, kalau dia tak boleh nak bentang dia tak ada idea maka dia mula main soal perkauman, soal emosi, soal agama," katanya.