Peluang TSG tawan Melaka

Nur Amirul Fakhruddin (tengah) memenangi pingat emas dalam acara lebuh raya lelaki individu pada Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei lalu.
Nur Amirul Fakhruddin (tengah) memenangi pingat emas dalam acara lebuh raya lelaki individu pada Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei lalu.
A
A
A

ATAS kertas, pasukan berstatus benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dijangka mampu mendominasi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 yang bakal berlangsung di bandaraya Melaka mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Dua nama yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA - Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff disebut-sebut antara pelumba pilihan TSG untuk muncul juara kebangsaan tahun ini.

Kehadiran beberapa pelumba berpengalaman termasuk pakar pecut, Mohd Harrif Salleh, selain Mohd Shahrul Mat Amin dan Irwandie Lakasek turut meletakkan TSG sebagai pasukan yang cukup digeruni.

Malah, tanpa penampilan satu lagi pasukan berstatus benua, Team Sapura Cycling (TSC) pada kejohanan kali ini membuka lebih peluang buat barisan pelumba TSG menawan bandar raya Melaka.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengakui TSG berada dalam kelas tersendiri bersandarkan status pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu.

“Sememangnya TSG merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap dan dibarisi pelumba-pelumba handalan. Jadi sudah tentu TSG dianggap pasukan pilihan pada kejohanan kali ini.

“Dengan ketiadaan TSC, berkemungkinan besar barisan pelumba TSG mampu menjuarai beberapa acara. Tetapi kita tidak boleh mengetepikan pelumba daripada pasukan lain.

“Mungkin juga ada kejutan nanti kerana laluan (dalam kategori lepas beramai-ramai lelaki elit) kali ini bukannya mudah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, pelumba TSC, Muhsin Al Redha Misbah menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Manong, Perak tahun lalu.

Pada edisi kali ini, kira-kira 350 peserta termasuk pelumba berstatus amatur bakal mengambil bahagian melibatkan 14 acara secara keseluruhannya.

Tumpuan utama sudah pasti terarah dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita yang dijadualkan bermula dan berakhir di Rumah Melaka pada Ahad.

Menurut Abu Samah, antara pasukan negeri yang bertanding termasuklah Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur selain wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pasukan berstatus benua terbaik negara, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) turut bersaing selain satu lagi pasukan tempatan yang mula mencipta nama, Team Aquatwo Cyclomotion (TAC),” jelasnya.