Tze Liang gagal ke pusingan akhir

Ooi Tze Liang. - Foto fail Bernama
Ooi Tze Liang. - Foto fail Bernama
A
A
A

TUAH masih tidak menyebelahi skuad terjun Malaysia pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun apabila hari ini penerjun lelaki negara Ooi Tze Liang pula gagal mara ke pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal lelaki.

Menurut laman sesawang kejohanan worldaquatics.com, pemenang pingat emas acara itu di Sukan Komanwel Glasgow 2014 yang beraksi di pusingan separuh akhir hari ini menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dengan kutipan mata 402.40.

Penerjun China Wang Zongyuan nyata berada dalam kelas tersendiri apabila berada di kedudukan teratas di pusingan terbabit dengan pungutan 546.25 mata diikuti rakan sepasukan Long Daoyi (495.80) dan penerjun United Kingdom (UK) Daniel Goodfellow (477.20) masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Skuad negara kini bergantung harap kepada penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri yang akan memulakan saingannya esok untuk berentap dalam acara 3m papan anjal wanita selain Ng Yan Yee turut tampil dalam acara sama. - Bernama.