Tindakan bermain papan selaju di jalan awam berbahaya - Polis

Polis pandang serius tindakan sekumpulan pemuda bermain papan selaju di jalan awam seperti video yang tular menerusi media sosial. Foto hiasan 123RF
Polis pandang serius tindakan sekumpulan pemuda bermain papan selaju di jalan awam seperti video yang tular menerusi media sosial. Foto hiasan 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis memandang serius tindakan sekumpulan pemuda bermain papan selaju di jalan awam di bandar raya ini seperti video yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tindakan itu bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

"Pada hari ini polis telah menerima satu video berdurasi 36 saat yang telah dimuat naik melalui pemilik akaun Facebook 'Asfarizal Syazwan' menunjukkan aksi sekumpulan pemuda bermain papan selaju secara berbahaya.

"Semakan mendapati kejadian itu berlaku di jalan awam di daerah Johor Bahru. Kes ini menjadi satu kesalahan di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti) 2021 dengan hukuman di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Raub berkata, sehubungan itu pihaknya membuat pemantauan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti seumpama diminta menyalurkan maklumat kepada pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182 222. - Bernama