Coffee Star mahu bantu usahawan baharu

A
A
A

Raja Ahmad (kanan) ketika menerima Anugerah Inovasi Pilihan 2023 BISA Sinar Harian yang diadakan pada Februari lalu.
Raja Ahmad (kanan) ketika menerima Anugerah Inovasi Pilihan 2023 BISA Sinar Harian yang diadakan pada Februari lalu.

Selepas empat tahun berada dalam perindustrian kecil dan sederhana (PKS) negara, Coffee Star Malaysia kini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan mesin kopi keluaran terbaharunya, ‘Cinta Kupi by Coffee Star’.

Pengarah Urusan FARIO Holdings Sdn Bhd, Raja Ahmad Fauzan berkata, idea utama mengilhamkan mesin kopi terbaharu itu adalah bagi mewujudkan cabang perniagaan baharu jenama Coffee Star.

Graduan kejuruteraan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom (UK) itu berkata, Cinta Kupi merupakan kesinambungan selepas kejayaan memperkenal mesin layan diri tanpa tunai atau lebih dikenali sebagai Coffee ATM di negara ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai mesin Cinta Kupi ini, Raja Ahmad berkata, ia adalah usaha syarikat itu untuk berkongsi rezeki dengan usahawan baharu.

“Jenama Coffee Star kini mempunyai peminatnya tersendiri apabila kita berjaya menempatkan Coffee ATM di lebih 100 lokasi awam di seluruh negara.

“Jadi apa kata selepas ini kita bantu pula usahawan baharu untuk meningkatkan ekonomi masing-masing melalui perniagaan ini dengan kos mampu milik,” katanya.

Mudah alih

Tambahnya lagi, dengan Cinta Kupi, usahawan boleh buka Coffee Booth di pelbagai acara seperti perkahwinan, acara korporat, pelancaran produk, acara sekolah, café, restoran, ruang pejabat dengan peralatan minima dan mudah alih.

RAJA AHMAD FAUZAN
RAJA AHMAD FAUZAN

“Walaupun kecil, mesin Cinta Kupi ini mampu menyediakan lebih dari 15 menu kopi termasuk teh, coklat dan matcha. Menu ini boleh ditambah mengikut keperluan dan kehendak pelanggan,” katanya.

Penerima Anugerah Inovasi Pilihan, Anugerah Bisnes Sinar Harian (BISA) 2023 ini berkata, Cinta Kupi boleh memuatkan 70 cawan pada satu-satu masa. Ia adalah satu-satunya mesin kopi automatik sepenuhnya yang terdapat di Malaysia.

“Untuk menjaga kualiti, Coffee Star membekalkan kopi yang diimport dari Belgium dan bahan-bahan lain,” jelasnya.

Bagi memastikan setiap usahawan mempunyai sasaran dalam mengoptimakan perniagaan, program pembangunan usahawan yang lengkap dengan prosedur operasi standard (SOP) serta teknik pemasaran dan juga bimbingan akan diberikan bagi menjamin kualiti jenama Coffee Star.

“Tawaran ini bukan sahaja terbuka kepada usahawan, tetapi juga kepada yang serius ingin menambah pendapatan daripada golongan inklusif seperti B40, ibu tunggal, asnaf dan mereka yang ingin menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan.

“Untuk fasa pertama ini, kami membuka peluang kepada 15 orang usahawan yang betul-betul berminat dengan perniagaan mesin kopi ini,” katanya yang beribu pejabat di Space U8, Bukit Jelutong, di sini.

Sebahagian daripada pasukan Coffee Star yang menjayakan Minggu PMKS.
Sebahagian daripada pasukan Coffee Star yang menjayakan Minggu PMKS.

Anak kelahiran Kota Bharu itu berkata, idea untuk membantu usahawan ini timbul selepas Coffee Star terlibat sebagai penaja minuman rasmi untuk VIP, seketariat, agensi dan peserta pameran Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Corp. Malaysia baru-baru ini.

Sokong usaha kerajaan

Jelasnya, ia adalah sebagai cara untuk menunjukkan komitmen Coffee Star menyokong usaha kerajaan dalam pembangunan ekonomi, sosial dan keusahawanan.

Raja Ahmad berkata, Coffee Star sebagai perintis pasaran mesin kopi menggunakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya telah berjaya memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan muda yang lebih memilih berurus niaga tanpa tunai.

Jelasnya lagi, disebabkan kualiti Coffee Star yang dihasilkan oleh 100 peratus mesin itu mampu menandingi kopi yang dibancuh oleh manusia, menjadikan ia mendapat perhatian dari sebuah syarikat negara Timur Tengah.

“Alhamdulillah FARIO Holdings Sdn Bhd telah memeterai perjanjian bersama Mrasi Almamoura Group yang berpangkalan di Arab Saudi pada Januari lalu.

“Buat permulaan kita akan membekalkan 12 buah mesin Coffee ATM dengan persiapan rapi sedang diatur bagi memastikan mesin yang dibekalkan bersesuaian dengan keperluan dan iklim negara itu,” katanya yang kini mempunyai 10 orang pekerja tetap.

Majlis menandatangani perjanjian usahasama antara FARIO Holdings Sdn Bhd (Coffee Star) dengan Moasasat Alkeyf Ibtikar (Alkeyf International).
Majlis menandatangani perjanjian usahasama antara FARIO Holdings Sdn Bhd (Coffee Star) dengan Moasasat Alkeyf Ibtikar (Alkeyf International).

Tambahnya, kerjasama itu meliputi pembangunan dan pengedaran produk minuman bagi memenuhi keperluan sektor haji dan umrah.

Katanya, kejayaan ini selari dengan matlamat syarikat yang mengutamakan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam pentadbiran dan operasinya.

Menerusi setiap cawan kopi yang terjual, 0.20 sen daripada keuntungan akan disumbangkan kepada Tabung Perubatan Kebajikan Malaysia (TPKM).

Malah Coffee Star juga menyertai United Nations Global Compact (UN Global Compact), inisiatif kemampanan korporat terbesar di dunia sejak Ogos 2022.

“Syarikat kami mementingkan kelestarian, kemampanan dan alam sekitar sebagai contoh bahan buangan hampas kopi tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya kita jadikannya baja tanaman.

“Begitu juga dengan cawan kopi, ia boleh dikitar semula menjadi bekas semaian dan pada tahun 2025 Coffee Star mensasarkan menjadi syarikat ‘zero waste’,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai anugerah BISA Sinar Harian, Raja Ahmad berkata, ia dapat memperkenalkan lagi jenama Coffee Star di negara ini.

“Terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyokong usaha syarikat kerana sebagai media berpengaruh peranannya banyak membantu mempromosikan produk usahawan mengembangkan bisnes masing-masing.

“Ini kerana dalam tempoh 10 tahun, kami sasarkan Coffee Star akan tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur dan semua ini adalah hasil dari bantuan dan usaha yang kami mulakan dari bawah,” katanya.

PROFIL

Nama: Raja Ahmad Fauzan

Umur: 46 tahun

Jawatan: Pengarah Urusan

Syarikat: FARIO Holdings Sdn Bhd

Laman web:

https://coffeestar.my

https://linktr.ee/coffeestar.my

https://lazada.com.my/shop/coffeestar-malaysia

https://www.shopee.com.my/coffeestar.my