Polis kesan suspek serang lelaki guna pisau

Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes serangan membabitkan sebilah pisau, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang di Lorong Merican, di sini pada 16 Julai lalu. - Gambar hiasan
Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes serangan membabitkan sebilah pisau, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang di Lorong Merican, di sini pada 16 Julai lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes serangan membabitkan sebilah pisau, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang di Lorong Merican, di sini pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an dan menetap di Kajang Selangor datang ke Kota Bharu bersama isteri atas urusan perniagaan.

"Mangsa pergi ke sebuah kedai di Lorong Merican Kota Bharu untuk membuat salinan fotostat dokumen perniagaan.

"Ketika sedang berjalan menuju ke kenderaan miliknya, tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang motosikal datang dari arah belakang bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, mangsa mengalami luka di bahagian kepala, lengan kiri dan belakang badan.

Katanya, suspek yang berketinggian kira-kira 168 sentimeter dan berbadan gempal memakai baju T berwarna merah dan berseluar jeans biru.

"Suspek menunggang motosikal berwarna merah tetapi nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang digunakan tidak dapat dicamkan oleh mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh

dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut," katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Asminda Mohd Apandi di talian 017-2509251 atau 09-7752200 atau datang ke mana-mana balai polis berdekatan.