Kerajaan peruntuk RM60 juta subsidi bina Rumah Mesra Rakyat

Akmal Nasrullah (depan, dua dari kanan) meninjau sebuah RMR dalam lawatan kerjanya di Kampung Tali Air 7, Sekinchan di sini pada Isnin.
Akmal Nasrullah (depan, dua dari kanan) meninjau sebuah RMR dalam lawatan kerjanya di Kampung Tali Air 7, Sekinchan di sini pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM60 juta subsidi pembinaan 3,410 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembinaan RMR itu kini giat dilaksanakan di seluruh negara.

Menurut beliau, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 585 unit bagi projek pembinaan RMR iaitu tertinggi di seluruh negara.

"Ini diikuti Melaka sebanyak 406 projek dan Johor pula 405 projek yang sedang dalam pembinaan," katanya selepas Program Lawatan Tapak Projek RMR di Kampung Tali Air 7, Sekinchan di sini pada Isnin.

Akmal Nasrullah memberitahu, Selangor pula mencatatkan sebanyak 902 unit RMR yang berjaya dibina, manakala 292 unit lagi masih dalam pembinaan.

Jelas beliau, SPNB mendapat permintaan tinggi apabila menerima sebanyak 87,687 permohonan daripada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, SPNB memperkenalkan enam reka bentuk baharu bagi program RMR yang boleh dipilih pemohon mengikut kesesuaian luas tapak rumah.

Tambahnya, RMR juga masih mengekalkan ciri-ciri kediaman berdaya huni dan kondusif iaitu tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap unit.

Katanya, dari segi pembinaan pula, SPNB menambahbaik proses pembinaan RMR kepada sistem lebih sistematik.

"Selepas pemasangan tiang dilakukan, kontraktor pembinaan akan membina bumbung terlebih dahulu sebelum kerja-kerja dinding dan lantai dilakukan.

"Melalui proses ini, kontraktor dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan dalam keadaan selesa dalam apa jua cuaca pun sekali gus mempercepatkan tempoh penyiapan RMR.

"Langkah ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos buruh yang bakal memberi kesan positif kepada pihak kontraktor," katanya.