Sultan Ibrahim jalani pembedahan bahu kanan Selasa ini

Doa dibacakan sebelum Sultan Ibrahim berangkat untuk menjalani pembedahan bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur.
Doa dibacakan sebelum Sultan Ibrahim berangkat untuk menjalani pembedahan bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menjalani pembedahan di bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) di Kuala Lumpur pada Selasa ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Johor menjalani pembedahan tersebut akibat kecederaan lama.

"Tuanku berharap rakyat tidak berasa bimbang, serta berdoa agar semua rakyat baginda dikurniakan rahmat dan perlindungan oleh ALLAH SWT.

"Tuanku juga bertitah, selepas menjalani pembedahan di bahu kanan, baginda kemungkinan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk memakai selempang (sling) bahu buat seketika.

"Bagaimanapun, Tuanku bertitah ini tidak menghalang baginda untuk menjalankan tanggungjawab untuk berangkat dan bertemu rakyat di setiap daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Jumaah Majlis Diraja menyeru seluruh rakyat bersama mendoakan semoga baginda menjalani pembedahan serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan selamat.

"Semoga baginda turut dikurniakan keafiatan yang berpanjangan," katanya.