Kibar Jalur Gemilang sebagai semangat cintakan negara

Fahmi (tengah) bergambar bersama para peserta Program 6,600 Langkah Perpaduan sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Ahad. - Foto Bernama
Fahmi (tengah) bergambar bersama para peserta Program 6,600 Langkah Perpaduan sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyeru kepada semua pihak supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara, seterusnya memeriahkan Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata rakyat di negara ini perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah di mana-mana sahaja terutamanya di kediaman, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta serta kenderaan masing-masing.

"Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka bagi mengisi takwim sepanjang Bulan Kebangsaan ini. Antaranya ialah program jualan harga patut, street soccer, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan kenegaraan, pameran dan persembahan seni grafiti.

"Segala maklumat untuk menyertai program-program ini boleh didapati melalui media sosial Merdeka 360 dan platform-platform hebahan yang lain. Ayuh rakyat Malaysia, tunjukkan sokongan anda dengan menyertai program-program kenegaraan yang dianjurkan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.

Majlis pelancaran yang dijangka menggamit kira-kira 10,000 pengunjung itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama (CEO), Roslan Ariffin dan Ketua Pengarang Bernama, Jamaluddin Muhammad.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan mengetengahkan konsep Karnival Kita Madani berorientasikan "kepelbagaian dalam perpaduan” bersandarkan aspirasi Malaysia Madani.

Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) melepaskan para peserta Program 6,600 Langkah Perpaduan. - Foto Bernama
Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) melepaskan para peserta Program 6,600 Langkah Perpaduan. - Foto Bernama

Katanya, sambutan kali ini juga menyaksikan penglibatan lebih banyak pihak yang menggembleng tenaga untuk menjayakan pelbagai program menarik sepanjang Bulan Kebangsaan dengan tema sambutan "Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” dalam usaha menggelorakan rasa cinta seluruh rakyat kepada negara.

"Seawal pagi ini, seramai 10,000 peserta menyahut cabaran untuk berjalan '6,600 Langkah Perpaduan' sebagai simbolik 66 tahun negara kita bebas ditadbir mengikut acuan sendiri. Sinergi antara pemimpin dengan rakyat ini yang telah membentuk kesepakatan dalam merencana masa hadapan negara," katanya.

Beliau berkata, semangat sambutan Bulan Kebangsaan akan terus dirancakkan ke seluruh pelosok negeri dan daerah yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehubungan itu, katanya, satu daripada program utama iaitu pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang berkonsepkan konvoi berkenderaan yang akan membawa Jalur Gemilang menyelusuri seluruh negara menerusi "Penyerahan Jalur Gemilang” antara satu negeri dengan negeri yang lain, turut disaksikan pada majlis pelancaran hari ini.

"Sebanyak 132 'check points' iaitu 66 'check points' di Semenanjung Malaysia dan 66 lagi di Sabah, Sarawak serta Labuan," katanya. - Bernama