Dana judi: Anwar cabar PN kemuka saman

Anwar berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak pada malam Sabtu. - Foto Bernama
Anwar berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak pada malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

YAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataannya bahawa parti itu menerima dana judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, beliau bersedia disaman ataupun dikenakan tindakan sekiranya kenyataannya bahawa parti itu menerima dana daripada syarikat judi adalah fitnah.

“Ini banyak duit merata tempat daripada mana? Duit judi! Saya ulang, dulu saya sebut duit judi, malam ini saya hendak sebut duit judi yang bantu mereka banyak.

"Nak cabar, cabar. Nak saman sila saman saya sekiranya berani.

"Pas kata dia tak tahu. Hang (kamu) kalau duduk di kampung tak apa. Ini duduk dalam Jemaah Menteri. Sepanjang masa jerit Allahuakbar, Allahuakbar dibiarkan begitu rupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau, tindakan PN menaikkan jumlah cabutan loteri daripada lapan kepada 22 kali ketika mentadbir negara bukanlah dilakukan secara percuma.

Menurut Anwar lagi, beliau sebagai Menteri Kewangan telah melihat sendiri fail-fail berkaitan perkara itu.

"Saya dulu Ketua Pembangkang memang serang kuat tapi tak terjangkau apa yang mereka lakukan adalah perjudian haram," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin Kerajaan Perpaduan terutama UMNO tidak terus bersikap defensif, sekali gus mengambil pendekatan melawan PN habis-habisan.