Kerajaan PN adil untuk rakyat, usah risau ‘gelombang hijau’ - Muhyiddin

Muhyiddin ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
Muhyiddin ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan yang bakal dipimpin Perikatan Nasional (PN) dijamin akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.

“Terdapat beberapa kebimbangan bahawa kerajaan Pas atau PN akan berbeza sama sekali, malah ada yang mengatakan lebih teruk daripada kerajaan Taliban.

“Saya tak tahu pun apa yang dimaksudkan Taliban itu, saya pernah mendengar mengenainya.

“Ia (PN) akan menjadi kerajaan yang adil,” katanya ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.

Dalam pada itu, ujar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan warna logo Pas.

“Jangan risau tentang gelombang hijau. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah itu.

“Tidak mengapa kerana saya boleh katakan sekarang gelombang hijau dan biru bersama itu kita ada, iaitu di bawah PN,” ujarnya.

Istilah ‘Taliban’ sering digunakan untuk menggambarkan pentadbiran Islam yang ketat di Afghanistan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos ini.

PN akan mengekalkan logo Pas untuk Kelantan dan Terengganu manakala logo berwarna biru gabungan itu pula digunakan untuk empat negeri lain.