Penuntut IPTA maut jatuh tingkat 4 kondo

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat kondominium di Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsey Anak Embol berkata, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berumur 23 tahun.

"Kejadian berlaku sekitar jam 5.47 petang di kondominium yang dipercayai dihuni wanita itu di Seksyen 7.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari kawasan tempat letak kereta di tingkat empat kondominium tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan dijalankan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

"Tiada unsur-unsur jenayah dijumpai ketika siasatan dijalankan.

"Hasil temubual dengan kakak mangsa memaklumkan bahawa mangsa mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan sakit mental kali terakhir pada 10 Julai lalu di Hospital Shah Alam," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan sebarang maklumat lanjut berkenaan kes ini, boleh disalurkan kepada Sarjan Mejar Mohd Shafawi di talian 011-33642465," katanya.