Suspek khianat, bakar kenderaan di Klang ditahan polis

Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek bagi kes khianat dan bakar beberapa kenderaan di kawasan tempat letak kereta di Bandar Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki tempatan berumur 53 tahun itu ditahan berhampiran kawasan kejadian pada 5.30 petang, Khamis lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Ujian saringan air kencing yang dilaksanakan mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin dan punca perbuatan juga masih dalam siasatan polis.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat menggunakan api, Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum itu, Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 24 tahun pada 2.45 petang, Khamis lepas memaklumkan bahagian hadapan keretanya telah terbakar dan terdapat pihak bomba sedang memadamkan kebakaran di tempat kenderaan berkenaan pada hari yang sama.

"Lanjutan siasatan kami mendapati terdapat lima lagi kenderaan yang lain berada di tempat letak kenderaan itu turut terbakar,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek yang sama dipercayai memecahkan cermin sebuah kenderaan di kawasan lampu isyarat di Lebuh Batu Nilam serta lapan kenderaan lain yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

"Setakat ini, 15 kenderaan telah dikhianati dengan cara membakar bonet dan memecahkan cermin dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000,” katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan seorang lelaki bertindak menyimbah sejenis cecair sebelum membakar bahagian bonet hadapan beberapa kenderaan yang dipercayai berlaku di kawasan Klang. - Bernama