Tiga warga Myanmar terlibat 15 kes pecah rumah diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam 15 kes pecah rumah di daerah Ampang Jaya berjaya ditahan sepasukan polis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas pada 14 Jun lalu.

"Dalam kejadian pada jam 4.30 petang, lelaki berusia 72 tahun itu berada di rumah anaknya dia Kota Kinabalu, Sabah.

"Dia telah menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan rumah pengadu di Taman Cheras Indah, di sini, telah dipecah masuk sekumpulan penjenayah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azam berkata, adik pengadu kemudian telah memberikan rakaman kamera litar tertutup di rumah jiran pengadu dan mendapati tiga lelaki keluar dari pintu belakang rumah sambil membawa satu bungkusan warna merah.

"Pengadu pulang ke rumah pada jam 11 malam hari sama, mendapati ada kesan potongan pada grill tingkap dapur dan kunci mangga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azam berkata, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati beberapa barang kemas telah hilang dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM5,000.

"Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya memberkas tiga suspek berusia 29 hingga 31 tahun di Taman Bukit Teratai pada jam 11.05 malam Khamis," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah membuat rampasan sehelai resit emas pajak gadai, dua buah motosikal Honda EX5 dan Honda Wave, 19 jam tangan, enam buah telefon bimbit, sebuah kamera dan dua rangkai kunci motosikal.

"Kita turut merampas dua buah beg galas, dua pasang sarung tangan, beberapa peralatan pecah rumah, sehelai sweater, sepasang selipar dan satu topi," katanya.

Mohd Azam berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas kesemua suspek turut mendapati hanya dua daripada mereka positif dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mengaku telah terlibat dalam 15 kes pecah rumah di Ampang Jaya.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Khamis sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan," katanya.