Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan

Dagangan Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan, dipacu oleh prospek positif di pasaran tempatan dan serantau. - Gambar hiasan
Dagangan Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan, dipacu oleh prospek positif di pasaran tempatan dan serantau. - Gambar hiasan
A
A
A

DAGANGAN Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan, dipacu oleh prospek positif di pasaran tempatan dan serantau, kata seorang peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menyatakan, momentum belian di pasaran tempatan mungkin berterusan ke minggu depan memandangkan sentimen pasaran yang bertambah baik selain penilaian murah FBM KLCI.

"Namun begitu, kami tidak menolak kemungkinan akan kemunculan kegiatan pengambilan untung. Justeru, kami mengunjurkan indeks penanda aras berada dalam julat aliran ketat minggu depan dalam lingkungan 1,400-1,420 dengan rintangan serta-merta pada 1,430 manakala sokongan pada 1,380,” katanya kepada Bernama.

Bagi prestasi pasaran serantau, Thong berkata, indeks utama menunjukkan momentum positif, didorong oleh petunjuk menggalakkan daripada pasaran saham antarabangsa.

"Sentimen pelabur kekal memberangsangkan berikutan keluaran data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan dan ini mencetuskan keyakinan yang Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kenaikan kadar akhir bulan ini,” katanya.

Untuk kebanyakan hari dagangan minggu ini, FBM KLCI mempamerkan prestasi yang mengagumkan, dirangsang oleh belian kukuh daripada institusi tempatan dan sokongan dana asing.

Bagi perbandingan Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI melonjak 34.42 mata untuk ditutup pada 1,412.09 berbanding 1,377.67 minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 265.64 mata kepada 10,432.12, Indeks FBMT 100 mengembang 254.18 mata untuk mencatatkan paras 10,114.50 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 278.15 mata kepada 10,709.33.

Indeks FBM 70 pula menokok 379.60 mata kepada 13,825.29 dan Indeks FBM ACE memperoleh 139.90 mata kepada 5,279.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 357.73 mata kepada 15,735.22, Indeks Perladangan meningkat 95.19 mata kepada 6,898.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 4.57 mata menjadi 162.82, dan Indeks Tenaga untung 31.00 mata untuk mencatatkan paras 832.20.

Jumlah dagangan mingguan mencatatkan peningkatan kepada 14.82 bilion unit bernilai RM9.55 bilion daripada 12.19 bilion unit bernilai RM7.66 bilion dalam minggu urus niaga sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.82 bilion saham bernilai RM8.35 bilion daripada 8.52 bilion saham bernilai RM6.43 bilion minggu lepas.

Sementara itu, perolehan waran mengembang menjadi 1.56 bilion unit bernilai RM238.94 juta daripada 1.36 bilion unit bernilai RM225.95 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE mengukuh kepada 2.43 bilion saham bernilai RM958.83 juta daripada 2.25 bilion saham bernilai RM994.16 juta Jumaat lepas.