Enam lelaki tipu turap jalan diberkas

Enam lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar daerah ini.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Azam)
Enam lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar daerah ini.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Azam)
A
A
A

AMPANG - Enam lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 20 hingga 44 tahun itu mendakwa mereka adalah pekerja yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Suspek menawarkan perkhidmatan penurapan jalan di hadapan rumah dengan harga RM500," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azam berkata, pihaknya menerima satu laporan dari mangsa pada Khamis yang mendakwa ditipu kumpulan berkenaan.

"Mangsa yang percaya dengan tawaran suspek itu kemudian membayar wang pendahuluan sebanyak RM200.

"Bagaimanapun, tiada sebarang penurapan jalan dilakukan kumpulan lelaki terbabit selepas bayaran dilakukan," katanya.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan polis membuat serbuan dan berjaya menahan enam lelaki itu pada jam 4.30 petang Jumaat.

"Kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita percaya sudah ramai yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan modus operandi suspek, mangsa boleh tampil untuk membuat laporan polis atau menghubungi pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya di talian 03-42952222," katanya.