Ifedayo bantu KDA tewaskan Kelantan United

Pemain KDA FC meraikan jaringan Ifedayo di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - FOTO KDA FC
Pemain KDA FC meraikan jaringan Ifedayo di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - FOTO KDA FC
A
A
A

PENYERANG baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun tidak menunggu lama menyesuaikan diri apabila meledakkan dua gol membantu pasukannya menewaskan Kelantan United FC 3-1 pada aksi ke-17 Liga Super 2023 pada malam Jumaat.

Sang Kenari yang turun dengan misi meneruskan momentum kemenangan walaubagaimanapun tidak diberi ruang mudah oleh pasukan pelawat yang menunjukkan disiplin tinggi apabila bertahan tanpa bolos sehingga tamat separuh masa pertama.

Tuan rumah perlu menunggu sehingga minit ke-54 untuk berada di hadapan1-0 menerusi tandukan Ifedayo selepas menerima hantaran Wan Amirul Afiq.

Gol tersebut jelas membangkitkan keyakinan pemain KDA FC untuk terus memburu tambahan jaringan dan mereka melakukannya pada minit ke-74 sekali lagi menerusi Ifedayo yang menolak masuk hantaran Fayadh Zulkifli untuk kedudukan 2-0.

Kelantan United berusaha untuk mendapatkan kedudukan dan hampir melakukannya menerusi penyerangnya, Jose Porteria namun dua percubaannya sekadar singgah Di tiang gol KDA FC.

Sang Kenari terus menjarakkan kedudukan kepada 3-0 pada minit ke-84 apabila pemain yang baru dimasukkan, Amirbek Juraboev meledakkan gol menerusi larian solo.

Usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila memperolehi gol saguhati menerusi Ismaheel Akinade pada masa kecederaan minit ke-91untuk kedudukan masa penuh 3-1.