Malaysia bakal jadi hab umrah

Khairul Firdaus - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Khairul Firdaus - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi hab umrah di rantau ASEAN termasuk China, Jepun dan Korea dalam masa yang terdekat.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, perancangan itu dilihat bakal membantu agensi umrah selain menjadikan industri pelancongan Islam di negara ini semakin berkembang.

Jelasnya, perkara tersebut akan dibawa dan dibincangkan di peringkat kabinet pada Ogos ataupun September tahun ini.

“Di dalam mesyuarat kabinet, kita akan buat penjelasan lengkap dan juga membincangkan apakah yang diperlukan supaya misi nak jadikan hab umrah dapat dilaksana.

“Di kabinet juga kita akan nyatakan apakah insentif atau yang diperlukan dari pihak kerajaan kerana kabinet adalah badan berkuasa dan mereka boleh bantu mudahkan perjalanan ini,” katanya.

Dari kiri, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Khairul Firdaus; Ida Riswana dan wakil Amal dari Malaysia Airlines, Mohd Fadzle Sonsudin - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Dari kiri, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Khairul Firdaus; Ida Riswana dan wakil Amal dari Malaysia Airlines, Mohd Fadzle Sonsudin - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia di sini pada Jumaat.

Tambah Khairul Firdaus, perancangan itu bukan sahaja membantu agensi atau penggiat industri mendapat keuntungan, malahan umat Islam yang kurang berkemampuan juga mendapat manfaat.

Jelasnya, sekiranya hab umrah berjaya dilaksanakan dan mendapat permintaan tinggi daripada orang luar, ia akan menyebabkan harga pakej umrah dapat diturunkan.

“Kalau banyak permintaan, kolektiviti lagi kerap. Kalau lebih kerap dan luas, maksudnya harga boleh turunkan. Ia akan membantu golongan yang kurang berkemampuan juga.

“Dan paling penting apabila bakal jemaah nak mengerjakan umrah, dia singgah di Malaysia. Pemain industri boleh kaut keuntungan daripada inbound (dalam Malaysia) juga.

“Setakat ini banyak daripada kita (penggiat industri umrah) lakukan (untung) dari pakej outbound (luar Malaysia). Ini dia dapat dua-dua (outbound dan inbound),” ujarnya.

Pengunjung yang hadir semasa Khairul Firdaus semasa Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Pengunjung yang hadir semasa Khairul Firdaus semasa Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Khairul Firdaus juga yakin bahawa dengan kemampuan agensi pelancongan di negara ini, umat Islam di negara luar tidak mempunyai sebarang rasa was-was untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

“Tepat pada masanya untuk kita wujudkan hab ini. Ini supaya orang Islam melihat Malaysia sebagai destinasi percutian dan sebelum kerjakan umrah dan haji, ini tempat mereka timba ilmu. Paling penting, mudahkan perjalanan,” katanya.

Mengulas mengenai Pakej Umrah Rahmah yang dilakukan oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), beliau berkata, ia adalah satu permulaan baik bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, pakej yang memberikan peluang terutama kepada individu yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu perlu dicontohi agensi pengendali lain.

“Dengan adanya pakej sebegini, ia adalah satu langkah awal untuk kita mewujudkan hab umrah di negara kita di peringkat ASEAN termasuk China, Jepun dan Korea.

“Ini memberi satu kesan yang positif kepada industri umrah. Mana tahu, dengan wujudnya pakej rahmah ini, kita boleh wujudkan lagi pakej yang berpatutan,” katanya.

Menurut beliau, bagi menyokong usaha tersebut, MOTAC akan cuba mencari jalan untuk menyediakan platform terbaik supaya mesej itu dapat disampaikan kepada jemaah yang berminat.

Khairul Firdaus turut menggesa lebih banyak agensi pengendali umrah dapat melakukan perkara yang sama supaya ia dapat diperluaskan.

“Bukan sahaja Andalusia, tetapi syarikat-syarikat lain dapat turut serta berikan sumbangan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Ida Riswana semasa ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ida Riswana semasa ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya bercadang untuk memperuntukkan sebanyak 2,200 tempat duduk bagi pakej Umrah Rahmah pada musim 1445H yang bermula akhir bulan ini.

Tambahnya, bagi pakej tersebut, ia bermula dari harga RM5,590 iaitu pengurangan sebanyak RM1,400 daripada harga pakej ekonomi biasa.

“Walaupun pakej Umrah Rahmah ini mendapat diskaun RM1,400 seorang, Andalusia tidak menanggung kos defisit atau kerugian yang besar kerana adanya kos-kos guna sama yang dikeluarkan dari sebut harga asal setiap pakej,” ujarnya.

Selain dari pakej tersebut, menurut beliau, Andalusia juga mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Umrah Adnaf dengan menghantar 500 orang golongan itu ke Mekah secara percuma setiap tahun.

Jelasnya, pemilihan akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti pejabat agama daerah, pejabat menteri besar negeri dan kementerian pelancongan bagi menyaring mereka yang benar-benar layak sahaja.