Anak petani cemerlang STPM

KOTA KINABALU - Arnie Jaliusih, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu, Tamparuli muncul antara 75 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Sabah dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 4.00.
Arnie yang merupakan anak keluarga petani berkata, taraf kehidupan keluarganya bukan penghalang untuknya melakar kejayaan dan berharap dapat belajar di peringkat yang lebih tinggi.
"Sebenarnya saya tidak sangka mendapat keputusan cemerlang dan jangkaan saya hanya sekadar 3.8 atau 3.9 (PNGK) tetapi mungkin hasil usaha selama ini membolehkan saya sampai ke tahap ini.
"Ibu bapa saya hanya petani yang menanam sayuran dan padi bukit. Keputusan ini membolehkan saya menyambung belajar ke peringkat lebih tinggi untuk mengubah kehidupan keluarga pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam di sini pada Khamis.