Wanita maut selepas cuba tikam anak OKU

Kejadian dipercayai berlaku di kediaman mangsa di Taman Kota Laksamana,Melaka. - Foto Astro Awani
Kejadian dipercayai berlaku di kediaman mangsa di Taman Kota Laksamana,Melaka. - Foto Astro Awani
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita maut dipercayai menikam dirinya selepas cuba membunuh anak lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) di kediaman mereka di Taman Kota Laksamana di sini pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan anaknya berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

Memetik laporan Astro Awani, adik mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari apabila anak saudaranya itu menghubungi neneknya memaklumkan ibunya berusia 56 tahun bertindak menikam lehernya.

"Dia maklumkan ibunya sempat menyuruhkan mengambil 'paracetamol' dengan kuantiti yang banyak sebelum memintanya tidur.

"Bagaimanapun dia terkejut apabila ibunya tiba-tiba bertindak menikam lehernya dan kemudian menikam dirinya sendiri sebanyak tiga kali sebelum rebah," katanya ketika ditemui di lokasi.

Wanita itu yang merupakan bekas guru tadika dipercayai tinggal berdua dengan anaknya di kediaman berkenaan manakala seorang lagi anak mangsa tinggal di kediaman lain.

Ahli keluarga mangsa kemudiannya menghantar lelaki OKU berkenaan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi Astro Awani pada malam kejadian enggan mengulas lanjut dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media.