Pembantu pengurus rugi RM2.5 juta diperdaya 'love scam'

Jauteh (tengah) dalam sidang akhbar di IPD Penampang.
Jauteh (tengah) dalam sidang akhbar di IPD Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Seorang wanita berputih mata apabila wang sebanyak RM2.5 juta lesap selepas diperdaya menerusi taktik 'love scam' oleh lelaki yang mendakwa dari Korea.

Wanita berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu itu hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki terbabit sebelum membuat laporan polis pada Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi laman sosial Instragram dan memperkenalkan diri sebagai 'Ji Won' yang berasal dari Korea.

"Hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula berhubung dengan lebih kerap melalui aplikasi WhatsApp dan suspek memaklumkan bahawa dia menjalankan perniagaan minyak dan gas di Itali, tetapi akaun banknya mempunyai masalah sebelum meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk membuat pembelian barang-barang syarikat.

"Atas dasar percaya, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sebanyak 41 kali ke dalam 24 akaun berbeza yang berjumlah lebih RM2.5 juta antara 26 Mei lalu hingga 4 Julai lalu atas arahan suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada Khamis.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, mangsa mula rasa tertipu selepas wangnya tidak dikembalikan dan dia juga diminta membuat bayaran tambahan.

"Suspek juga kini gagal dihubungi dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya sehingga terlibat dalam love scam ini.

"Semakan perlu dibuat terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi semak mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.