[VIDEO] Bekas pemain bola sepak ditahan pecah rumah, positif dadah

A
A
A

PONTIAN - [KEMAS KINI] Polis menumpaskan "Geng Eddy" dianggotai lima lelaki tempatan termasuk seorang bekas pemain bola sepak yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini, Batu Pahat, Muar dan Tangkak sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dengan penangkapan kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM350,000.

Katanya, dalam kejadian tersebut, dua suspek berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Sanglang, Pontian pada 3 Julai lalu, manakala tiga lagi melarikan diri sebelum ditangkap di dua lokasi berbeza di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada hari yang sama.

Mohammad Shofee (dua dari kiri) menunjukkan gambar anggota Geng Eddy.
Mohammad Shofee (dua dari kiri) menunjukkan gambar anggota Geng Eddy.

"Sebelum ditahan, suspek sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut yang disedari pemilik yang kemudiannya mengejar suspek yang melarikan diri menaiki kereta sebelum terbabas berhampiran lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati, "Geng Eddy" melakukan pecah rumah pada siang hari ketika penghuni rumah keluar bekerja. Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama," katanya.

Mohammad Shofee (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada ‘Geng Eddy’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu siang, di sekitar Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
Mohammad Shofee (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada ‘Geng Eddy’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu siang, di sekitar Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini, pada Khamis.

Jelasnya, susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya menemui wang tunai termasuk mata wang Korea Utara Won (KPW), barang kemas, beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pakaian, resit jualan emas dan peralatan pecah rumah.

“Kesemua suspek didapati positif dadah manakala semakan rekod jenayah mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Peralatan yang digunakan Geng Eddy yang aktif dalam kegiatan pecah rumah.
Peralatan yang digunakan Geng Eddy yang aktif dalam kegiatan pecah rumah.