Guru didakwa gigit murid masih bertugas seperti biasa - JPN

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang guru yang dikaitkan dengan dakwaan menggigit muridnya yang berlaku di sebuah sekolah dekat Kelantan baru-baru ini, disahkan masih bertugas seperti biasa.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, kes berkenaan setakat ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, JPN negeri memberi kerjasama penuh kepada KPM, termasuk turut memberi laporan berkaitan mengikut prosedur yang ditetapkan, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sehingga tular di media sosial.

"Setakat ini, JPN negeri menunggu arahan selanjutnya daripada KPM sehingga siasatan tamat. Kita juga tidak mahu mengulas secara lebih lanjut kerana khuatir ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.

"Malah, pihak sekolah, wakil Pejabat Pendikan Daerah (PPD) dan wakil JPN, telah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid berkenaan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2022 di Sekolah Kebangsaan Padang Garong (1) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tular di media sosial seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun, digigit oleh seorang guru di bahagian bibirnya mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), untuk menyiasat berhubung kes berkenaan.

Malah, segala siasatan mesti mengikut saluran serta proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan serta ketelusan dan pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. - Bernama