Polis berkas tiga rakan pecah masuk tadika

Tangkap layar video tular memaparkan aksi kejar antara kenderaan polis dengan kereta penjenayah di Taman Tun Sambathan, Sungai Siput.
Tangkap layar video tular memaparkan aksi kejar antara kenderaan polis dengan kereta penjenayah di Taman Tun Sambathan, Sungai Siput.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Aksi kejar antara sebuah kereta dengan kenderaan polis yang tular di media sosial Ahad lalu berjaya memberkas tiga suspek terlibat kes pecah masuk tadika di Taman Heawood dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan sekitar jam 3 pagi di sekitar Taman Tun Sambathan selepas dikejar sejauh 4 kilometer.

Menurutnya, polis sebelum itu menerima maklumat orang awam terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

"Polis yang menjalankan pemantauan telah mengarahkan pemandu kereta berhenti untuk pemeriksaan, namun enggan.

"Kenderaan polis kemudiannya mengejar suspek sebelum berjaya menahan kereta tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dengan penahanan itu, polis turut merampas beberapa barangan elektrik dan peralatan disyaki digunakan semasa kejadian pecah tadika.

Polis turut merampas beberapa barangan elektrik dan peralatan disyaki digunakan semasa kejadian pecah tadika.
Polis turut merampas beberapa barangan elektrik dan peralatan disyaki digunakan semasa kejadian pecah tadika.

Katanya, semakan mendapati, kesemua suspek yang merupakan rakan mempunyai rekod lampau masing-masing berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Semua suspek telah direman selama lima hari sehingga 14 Julai ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama," katanya.

Video berdurasi 45 saat itu tular di aplikasi TikTok memaparkan kenderaan polis mengejar sebuah kereta berwarna kuning dipandu dalam keadaan laju melalui kawasan taman perumahan.