Che'gu Bard dedah akan ditahan polis

Che'gu Bard ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat SPRM dekat sini pada Selasa.
Che'gu Bard ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat SPRM dekat sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard mendedahkan beliau akan ditahan polis dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia susulan sembilan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan ucapan di dalam sebuah ceramah di Pengkalan Chepa, awal bulan lalu.

"Tiga minggu lalu, tiga kali polis datang ke rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada Selasa.

Ujarnya, polis sekali lagi hadir ke program ceramah di Sungai Acheh untuk menyerahkan dokumen dan meminta beliau untuk pergi bersama mereka.

"Kali ini saya tidak akan pergi dan beri kerjasama kerana polis 'hutang' saya," kata beliau.

Che'gu Bard yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan berkata, tindakan menolak untuk bekerjasama adalah sebagai bantahan kerana mendakwa PDRM tidak menyiasat laporan dibuatnya terhadap Menteri Belia dan Sukan (KBS) pada Februari lalu.

"Sudah setengah tahun saya tunggu tetapi tiada tindakan," katanya.

Jelas Che'gu Bard, beliau sedar penolakan untuk kerjasama dengan PDRM menyebabkannya ditangkap.

"Sudah 39 kali saya duduk di lokap polis dan akan duduk kali ke-40, namun saya rasa Alhamdulillah kerana mempertahankan akidah anak bangsa," katanya lagi.

Pada Mac lalu, Che'gu Bard membuat laporan terhadap Hannah berkaitan dengan Program Jom Ziarah ke Gereja.

Jom Ziarah ke Gereja itu sudah dibatalkan 18 Mac lalu rentetan bantahan ramai dan Majlis Agama Islam Negeri.