Lelaki maut, motosikal dibonceng rempuh penghadang jalan

Lokasi kejadian yang mengakibatkan seorang pembonceng motosikal meninggal dunia.
Lokasi kejadian yang mengakibatkan seorang pembonceng motosikal meninggal dunia.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dibonceng terbabas dan merempuh penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 11.15 pagi Isnin itu, mangsa bersama penunggang masing-masing berusia 21 tahun dari arah Kuala Krai menghala ke Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang terbabit hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh penghadang jalan di sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Krai.

"Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk rawatan lanjut," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, penunggang motosikal didapati patah tangan kanan manakala pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada 12.45 tengah hari ketika menerima rawatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.