Lelaki dera anjing akan kemuka representasi

Laporan Sinar Harian berkenaan Chok Boon Kwong didakwa mendera anjing.
Laporan Sinar Harian berkenaan Chok Boon Kwong didakwa mendera anjing.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas yang didakwa mendera seekor anjing dengan kejam pada Mei lalu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam, Nashvinder Singh Gill yang mewakili tertuduh, Chok Boon Kwong, 61, memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Rushan Lutfi Mohamed pada prosiding sebutan semula kes pada Selasa.

Nashvinder memohon kepada mahkamah tempoh satu bulan untuk meneliti dokumen sebelum sebutan semula kes itu ditetapkan.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memaklumkan dokumen berkaitan kes berkenaan akan diserahkan kepada pihak pembelaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes dan keputusan representasi pada 10 Ogos depan.

Pada 8 Jun lalu, Boon Kwong didakwa atas pertuduhan dengan kejamnya telah mengikat seekor anjing dan mengheretnya dengan menggunakan kereta sehingga menyebabkan kesakitan kepada haiwan terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di jalan hadapan rumah di Kampung Sri Parit, Lukut di Port Dickson lebih kurang 6.45 petang pada 27 Mei 2023.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.