Perbuatan buli beri kesan jangka panjang

Masalah buli bukanlah isu baharu di Malaysia tetapi sudah kerap berlaku di institusi pengajian. - Gambar hiasan 123RF.
Masalah buli bukanlah isu baharu di Malaysia tetapi sudah kerap berlaku di institusi pengajian. - Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

APABILA berbicara perihal membuli, sudah pasti perkara pertama yang terlintas pada akal fikiran adalah melibatkan pelajar tidak kira sekolah rendah, menengah atau universiti.

Masalah tersebut bukanlah isu baharu di Malaysia tetapi sudah kerap berlaku di institusi pengajian.

Tanggapan masyarakat bahawa perbuatan membuli merupakan perkara biasa perlu diperbetulkan kerana ia tidak sepatutnya berlaku di mana-mana tempat pengajian.

Kebanyakan beranggapan buli hanya melibatkan kecederaan fizikal tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Mangsa tidak hanya cedera luaran tetapi dalaman iaitu mental mereka juga terganggu.

Ini dibuktikan apabila negara baru-baru ini dikejutkan dengan tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mencekik adiknya yang berusia sembilan tahun sehingga mati.

Perbuatan luar jangka itu dikejutkan dengan pendedahan si ayah bahawa anaknya sulungnya berubah setelah menjadi mangsa buli di sekolah. Si bapa memaklumkan, kesan perbuatan buli tersebut mengakibatkan remaja itu mengalami trauma sehingga sering meracau.

Sungguh menyayat hati apabila remaja yang sedang meningkat usia dewasa terpaksa berhadapan trauma sehingga bertindak luar jangka mencekik adik sehingga mati, kesan buli yang dilakukan rakan-rakan di sekolah.

Sukar untuk digambarkan perasaan dan trauma yang dihadapi remaja malang itu kerana tragedi itu bukanlah kehendak dirinya tetapi disebabkan tekanan perasaan akibat dibuli. Kejadian itu memberi kesan mendalam, mungkin seumur hidup dia akan menyalahkan dirinya sendiri atas kematian adik tersayang.

Jika kita perhatikan usia anak muda itu, dia baru berusia 14 tahun dan difahamkan kejadian buli menimpa dirinya berlaku sejak tahun lalu iaitu sewaktu memasuki alam persekolahan menengah rendah.

Mendengar kepada kata-kata si ayah bahawa anaknya itu mengalami trauma sehingga meracau menunjukkan remaja terbabit berhadapan dengan masalah mental yang teruk.

Keadaan itu membuatkan penulis terfikir tentang peranan yang dimainkan oleh guru apabila ada pelajar di sekolah terlibat perbuatan membuli atau dengan perkataan lain, menindas golongan lemah.

Boleh dikatakan isu buli di sekolah mahupun universiti akan menjadi bualan hangat setiap tahun kerana pasti ada kejadian yang tidak diingini berlaku sehinggakan ia terpahat dalam memori rakyat Malaysia.

Pada tahun 2017, negara dikejutkan dengan pemergian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain apabila dia dituduh mencuri komputer riba dan dipaksa mengaku sehingga rakan pelajar yang lain sanggup mencederakannya.

Kematian Zulfarhan sungguh menyayat hati kerana hasil pemeriksaan mendapati tubuhnya dicederakan dengan 90 tekapan seterika wap.

Bagaimanapun, kematian anak muda akhirnya mendapat pembelaan apabila enam penuntut UPNM didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021 atas tuduhan menyebabkan kematian kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh.

Berbicara soal buli, penulis ingin berkongsi cerita tentang satu kisah yang dialami oleh sahabat baik apabila dia turut menjadi salah seorang mangsa buli di sekolah.

Mengimbau kembali detik-detik ditindas oleh rakan sekelas, sahabat penulis pada ketika itu berusia 14 tahun. Dia mengalami kemurungan sehingga tidak mahu ke sekolah kerana takut untuk berhadapan dengan pembuli.

Rakan penulis itu tidak berhadapan dengan pembulian secara fizikal tetapi lebih kepada mental seperti dipinggirkan, diherdik dan dimalukan di hadapan orang ramai hanya kerana banyak melibatkan diri dengan aktiviti kokurikulum.

Dalam erti kata lain, rakan sekelasnya iri hati dengan perwatakan dan keberaniannya mengikuti pertandingan, yang boleh menonjolkan diri dan dikenali ramai.

Apabila menerima kebencian daripada rakan sekelas, perkara itu membuatkan dia tidak mahu makan sehingga mengalami masalah kesihatan iaitu kemurungan dan menghidap anemia atau kekurangan darah merah.

Lebih menyedihkan, disebabkan masalah buli yang berlaku lebih 10 tahun lalu, rakan penulis itu terpaksa terpaksa berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Kesimpulannya, jangan sesekali melakukan perbuatan membuli kerana ia akan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap mereka yang dibuli.

* Nor Syamira Liana Nor Ashaha ialah wartawan Sinar Harian