Perasaan PM tersentuh semasa hadiri Siri Syarahan Kehormat Madani

Anwar mendengar penerangan daripada putera-putera Almarhum Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Dr Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurahman Al-Qaradawi (dua kanan) mengenai Ensiklopedia Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-imam Yusof Al Qaradawi semasa Siri Syarahan Kehormat Madani di Kompleks Seri Perdana. - Foto Bernama
Anwar mendengar penerangan daripada putera-putera Almarhum Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Dr Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurahman Al-Qaradawi (dua kanan) mengenai Ensiklopedia Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-imam Yusof Al Qaradawi semasa Siri Syarahan Kehormat Madani di Kompleks Seri Perdana. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin tersentuh ketika menghadiri Siri Syarahan Kehormat Madani mengenai Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi di Seri Perdana di sini.

Anwar dalam ucapannya berkata, beliau amat terharu dengan kehadiran anak-anak Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi iaitu Dr Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurahman Al-Qaradawi yang sudi berkongsi mengenai biografi dan perjuangan Syeikh Yusof.

"Ini merupakan satu program penting dan pada masa sama menyentuh perasaan saya. Saya rasa sangat terharu semasa dapat tahu Muhammad hubungi saya berhajat ingin serahkan karya besar Syeikh Yusuf sebagai tanda ingatan kepada saya.

"Saya dan rakan-rakan di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebenarnya dekat dengan Syeikh Yusuf,... menjiwai perjuangan yang membawa mesej Islam. Beliau membantu kita dengan keadaan kebangkitan Islam (ketika itu) dan kemaraan anak muda, serta memberi ingatan perlu berhikmah dan kesabaran (berdakwah)," katanya.

Anwar turut berkata, Syeikh Yusuf pernah menulis surat pada tahun 2013, menyatakan sokongan terhadap perjuangan beliau dan rakan-rakan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 dan mengambil alih kerajaan Malaysia.

"Tiada apa yang boleh ditukarkan atau membayar sumbangan beliau bukan hanya kepada kita tetapi juga kepada umat manusia. Kami amat mengingati beliau,” katanya.

Syeikh Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia pada 26 September tahun lepas pada usia 96 tahun.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Syeikh Yusuf Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

Pada majlis itu, Muhammad menyerahkan Ensiklopedia Himpunan-Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-Imam Yusuf Al Qaradawi, yang antaranya menghimpunkan karya-karya Allahyarham dalam bidang akidah, feqah, ilmu agama, fatwa-fatwa, tasawuf, tafsir, hadis, sejarah, pemikiran dan khutbah.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama