Polis tahan dua lelaki bawa 30,000 biji pil kuda

Dadah yang dirampas dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Padang Licin Gual Periuk, Rantau Panjang pada Ahad.
Dadah yang dirampas dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Padang Licin Gual Periuk, Rantau Panjang pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas 30,000 biji pil kuda bernilai RM300,000 di tepi jalan Kampung Padang Licin Gual Periuk, Rantau Panjang pada Ahad.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mendapati sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada dalam kereta tersebut cuba melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Dadah bernilai RM300,000 yang dirampas di tepi jalan Kampung Padang Licin Gual Periuk, Rantau Panjang pada Ahad.
Dadah bernilai RM300,000 yang dirampas di tepi jalan Kampung Padang Licin Gual Periuk, Rantau Panjang pada Ahad.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang dinaiki dua lelaki terbabit menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam dan di dalamnya terdapat dadah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, ujian saringan awal urin mendapati lelaki warga Thailand positif dadah jenis methapethamine manakala lelaki tempatan mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Tambah Mohd Zaki, polis turut menyita sebuah motosikal Honda Wave bernombor pendaftaran Thailand.