Kenyataan Guan Eng perlu dirungkai dengan hemah - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum perlu dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah menurutnya, apa sahaja kebenaran yang dikatakan Guan Eng, polis sudah memberi komitmen untuk menyiasat dan mengambil tindakan.

"Saya percaya Guan Eng juga bersedia untuk memberi kerjasama dan menjawab segala persoalan.

"Pandangan saya, dalam berpolitik elakkanlah daripada kita memfitnah antara satu sama lain, apa jua perkara yang tidak jelas, biarlah ia dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perbezaan politik perlu ditangani dengan akhlak yang baik meskipun negara berada dalam suasana hangat pilihan raya di enam negeri.

"Seperti yang saya katakan semalam dalam kenyataan media saya di Dataran Merdeka, janganlah kita lakukan pembunuhan karakter kerana ia bakal mencetuskan situasi yang tidak harmoni di antara rakyat Malaysia," jelasnya.

Sebelum ini portal media melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu, sambil mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menggesa pihak polis menyiasat kenyataan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

Bagaimanapun, Guan Eng menafikan beliau pernah mendakwa PN akan merobohkan tokong sekiranya berjaya menawan Pulau Pinang.

Ahmad Zahid pada Ahad tampil mempertahankan Guan Eng dan menyifatkan terdapat pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.