PRM sahkan pemimpin utama tanding PRN Selangor

Gambar dari kiri: Ezam Mohd Noor, Syed Ahmad Putra, Tan Kang Yap, S Manickavasagam
Gambar dari kiri: Ezam Mohd Noor, Syed Ahmad Putra, Tan Kang Yap, S Manickavasagam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengesahkan empat pemimpin utamanya bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos akan datang.

Ketua Biro Pilihanraya PRM, Zainol Arif Jamaludin berkata, empat pemimpin utama berkenaan yang akan bertanding di empat kerusi DUN Selangor ialah Timbalan Presiden, Datuk Ezam Mohd Noor (Pelabuhan Klang); Naib Presiden, SManickavasagam (Sentosa); Ketua Penerangan, Tan Kang Yap (Pandamaran) dan Penolong Setiausaha Agong, Syed Ahmad Putra (Selat Klang).

Menurutnya, keputusan meletakkan calon di DUN berkenaan adalah berdasarkan kebolehan masing-masing untuk memikat pengundi di kawasan berkenaan.

“Sebagai contoh Datuk Ezam merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) beliau juga pernah menjadi Timbalan Pengerusi PKR Selangor semasa Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi pengerusinya.

“Manikavasagam merupakan bekas Ahli Parlimen Kapar pada tahun 2008 hingga 2013. Aktivis sosial yang terkenal memperjuang hak rakyat ini pernah menjadi Naib Ketua AMK semasa Ezam menjadi ketuanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Tan Kang Yap merupakan lulusan Universiti Tun Abdul Razak dan Universiti Malaya merupakan tokoh yang sedang meningkat naik dalam PRM. Dalam Kongres PRM yang lalu beliau memperoleh undi tertinggi di dalam pemilihan parti.

“Syed Ahmad Putra Syed Isa akan bertanding di DUN Selat Klang merupakan pengasas sebuah syarikat konsultan yang terkenal di Klang sejak lebih 20 tahun lalu, " katanya

Beliau juga pernah berkhidmat di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid serta pernah menjadi Timbalan Ketua AMK Selangor di era reformasi.