Kes tembak: 'Beri ruang polis siasat' - Muhamad Zaki

Muhamad Zaki (kiri) bertanya khabar Yusof pada Majlis Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Tanpa Istiadat dan Penyerahan Sumbangan Katil Kepada Pesara Polis Sakit Kronik, pada Isnin.
Muhamad Zaki (kiri) bertanya khabar Yusof pada Majlis Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Tanpa Istiadat dan Penyerahan Sumbangan Katil Kepada Pesara Polis Sakit Kronik, pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan meminta ruang meneruskan siasatan berhubung kes tembakan terhadap rumah seorang penjawat awam di Kampung Guntong Kok Lanas pada 8 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan diteruskan dengan terperinci melibatkan mesyuarat di peringkat tertentu.

"Bagi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan insya-ALLAH kita akan selesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Tanpa Istiadat dan Penyerahan Sumbangan Katil Kepada Pesara Polis Sakit Kronik, Yusof Hussain, 80, di kediaman warga emas terbabit pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki mengakui penyelesaian kes berkenaan tidak mudah tetapi polis akan melakukan yang terbaik untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Media pada Ahad melaporkan polis Kelantan memanggil tujuh saksi bagi membantu siasatan kes tembakan melibatkan kediaman seorang penjawat awam di Kampung Guntong dekat Kok Lanas.

Polis juga sedang mengenal pasti motif kejadian dan mendapatkan maklumat baharu untuk diteliti.

Sebelum itu, sebuah keluarga di Kampung Guntong, Kok Lanas, dekat sini berdepan detik cemas apabila rumah dan kenderaan mereka dihujani tembakan daripada individu tidak dikenali.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemukan beberapa kesan tembakan pada rumah terbabit serta pada kenderaan berhampiran.