UMNO Sabah bantu kempen PRN Selangor

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah akan menumpukan seluruh kekuatan jentera parti daripada negeri itu di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, rancangan tersebut adalah menepati apa yang telah diputuskan oleh UMNO Pusat baru-baru ini.

"Sebagaimana yang diamanahkan oleh UMNO Pusat, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah bagi membantu kempen di Selangor.

"Namun, sekiranya ada negeri lain yang memerlukan bantuan jentera UMNO Sabah dalam berkempen, kami sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan", ujar Bung Moktar dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam masa sama, menurut Bung Moktar, penyusunan jentera, ahli dan pemimpin UMNO Sabah yang akan ditugaskan di enam buah negeri itu akan diputuskan kelak selepas perbincangan diadakan dengan pimpinan UMNO di enam buah negeri yang terlibat PRN.

“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri," kata Bung Moktar.

Mengakui keberkesanan kempen dari rumah ke rumah yang diguna pakai sewaktu PRN Melaka dan Johor sebelum ini, Bung Moktar berkata, strategi sama akan dibawa ke Selangor pada PRN Ogos ini.

“Kita akan bergerak berkempen dari rumah ke rumah mengurangkan kempen secara perhimpunan kerana kempen rumah ke rumah walaupun di Selangor ini kawasannya agak luas namun yang lebih efektif dan berkesan," ujar Bung Moktar lagi.

Untuk rekod, UMNO Sabah setakat ini mempunyai keahlian seramai 583,979 orang.

PRN di enam buah negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan turut melibatkan seramai 9.7 juta orang pengundi.

Pada Rabu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala, 8 Ogos pula sebagai tarikh pengundian awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. - Awani