Jun Hao, Letshanaa rangkul gelaran juara kebangsaan

Letshanaa (kanan) memenangi perlawanan akhir perseorangan wanita dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
Letshanaa (kanan) memenangi perlawanan akhir perseorangan wanita dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menamatkan penantian selama empat tahun apabila dinobatkan sebagai juara kebangsaan pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

Pada aksi final, bekas juara remaja Asia berusia 23 tahun yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar 21-16, 21-13 dalam pertarungan selama 45 minit.

Pencapaian itu mengubat kekecewaan Jun Hao yang terlepas peluang merangkul gelaran juara edisi 2019 selepas terpaksa menarik diri ketika berdepan Soong Joo Ven pada aksi final akibat kecederaan.

"Kejayaan ini lebih kepada satu kepuasan buat diri saya, saya berharap dapat terus konsisten dan cipta pencapaian lebih baik dalam kejohanan antarabangsa pada masa depan,” kata pemain ranking dunia ke-54 itu kepada pemberita selepas upacara penyampaian hadiah di sini.

Mengulas lanjut, Jun Hao menyimpan hasrat untuk beraksi sebanyak mungkin di pentas antarabangsa bagi mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya menembusi kelompok 40 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Selaku juara, Jun Hao membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 dan trofi manakala Muhammad Shaqeem menerima RM5,000.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, pemain BAM, K Letshanaa menepati ramalan muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan Wong Ling Ching 16-21, 21-17, 21-19 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 66 minit.

Ia merupakan gelaran sulung Letshanaa pada penampilan pertamanya di kejohanan itu selepas pernah menjuarai Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun sebelum ini.

"Sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana ia adalah kejohanan besar peringkat kebangsaan, Saya berjaya mencapai sasaran dan berharap supaya beraksi dengan lebih baik pada kejohanan antarabangsa akan datang,” kata pemain ranking dunia ke-68 itu.

Katanya, kejayaan itu merupakan motivasi tambahan buat beliau dalam melakukan persediaan menghadapi cabaran lebih getir pada Terbuka Korea bermula 18 sehingga 23 Julai ini.

"Saya kurang menyerlah pada kejohanan antarabangsa baru-baru ini...jadi kejohanan ini telah memberikan saya sedikit dorongan serta memperbaiki kelemahan untuk beraksi dengan lebih baik di Terbuka Korea,” katanya.

Letshanaa menerima hadiah kemenangan berjumlah RM7,000 dan trofi manakala Ling Ching membawa pulang RM3,500.

Dalam pada itu, Wan Mohd Arif Wan Sharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King dan Vivian Hoo Kah Mun-Lim Chiew Sien masing-masing muncul juara beregu lelaki dan wanita sementara gelaran beregu campuran menjadi milik Roy King-Valeree Siow.

Juara beregu lelaki membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM15,000 berserta trofi sementara beregu wanita dan campuran masing-masing menerima RM10,000 dan trofi. - Bernama

Keputusan Final:

Perseorangan Lelaki:

[1] Leong Jun Hao (BAM) mn Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar (BAM) 21-16, 21-13

Beregu Lelaki:

[3] Wan Mohd Arif Wan Sharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King (BAM) mn [4] Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (SEL/PEN) 21-17, 21-12

Perseorangan Wanita:

[1] K. Letshanaa (BAM mn Wong Ling Ching (BAM) 16-21, 21-17, 21-19

Beregu Wanita:

[1] Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (KL/JHR) mn Cheng Su Hui-Vanessa Ng Po Lyn (BAM) 21-13, 21-7

Beregu Campuran:

[1] Roy King-Valeree Siow (BAM) mn [3] Choong Hon Jian-Go Pei Kee (BAM) 21-19, 21-18