PRN: Polis Kelantan dapat bantuan Bukit Aman

Muhamad Zaki (kiri) bersama Mohamed Al Namiri (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesara polis pada Program Fitrah Aidiladha Bank Rakyat di Kota Bharu pada Ahad.
Muhamad Zaki (kiri) bersama Mohamed Al Namiri (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesara polis pada Program Fitrah Aidiladha Bank Rakyat di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan menerima bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi melancarkan gerak kerja penugasan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada masa sama sukarelawan polis serta Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) akan turut membantu sepanjang tempoh tersebut.

"Setakat ini dengan penambahan anggota yang ada diharap dapat melancarkan PRN nanti.

"Pada 12 Julai ini, mesyuarat khas akan diadakan yang melibatkan semua pihak termasuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bagi menyelaraskan bidang tugas masing-masing," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Fitrah Aidiladha Bank Rakyat yang turut dihadiri Ketua Wilayah Kelantan, Terengganu, Mohamed Al Namiri Che Man.

Muhamad Zaki berkata, melalui pertemuan dalam mesyuarat khas itu nanti, pihaknya akan melihat lebih jelas apakah keperluan lain berdasarkan insiden yang berlaku pada pilihan raya sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Bank Rakyat yang telah mengagihkan bantuan daging korban kepada warga polis Kelantan.

"Seramai 50 pesara polis turut diberikan sumbangan wang tunai selain daripada daging korban bagi meringankan beban mereka.

"Alhamdulillah, keprihatinan yang diberikan kepada warga polis Kelantan sangat kami hargai," ujarnya.