Kerajaan beri tumpu masalah kemudahan kesihatan, sekolah daif

Anwar (tengah) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ihya Ulumuddin, Hasrul Hassan (kanan) pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Baharu Changlun, di Changlun, pada Sabtu.
Anwar (tengah) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ihya Ulumuddin, Hasrul Hassan (kanan) pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Baharu Changlun, di Changlun, pada Sabtu.
A
A
A
CHANGLUN - Kerajaan Perpaduan akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk menyelesaikan segera masalah kemudahan kesihatan dan sekolah daif di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya memberi penekanan terhadap isu itu demi kebajikan rakyat, sekali gus meningkatkan mutu kesihatan dan pendidikan negara.

"(Pada) tahun ini juga (sebanyak) RM1.4 bilion (diperuntukkan untuk) selesaikan segera (baiki tandas, bumbung dan dinding sekolah daif), yang mana JKR (Jabatan Kerja Raya) boleh buat, JKR buat. Yang mana, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) boleh buat, PPD buat.

"Tetapi, jangan bagitahu saya tidak boleh baiki tandas di semua sekolah di negara kita termasuk di negeri Kedah. Di Kubang Pasu kalau ada sekolah, tandas yang tidak dibaiki (dan) perlukan peruntukan lagi, beritahu pejabat daerah," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak problem pembinaan Masjid Baharu Changlun, di sini, pada Sabtu.

Tambah Anwar, pejabat daerah kemudiannya boleh menghubungi pihaknya bagi memaklumkan tentang keperluan tersebut.

"(Jikalau) tidak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini," katanya.

Menurut Anwar, sebanyak RM10.1 juta diperuntukkan bagi pembaikan 40 klinik dan enam sekolah daif daripada jumlah keseluruhan peruntukan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Kedah.



"Bagi Daerah Kubang Pasu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta bagi kerja-kerja pembaikan empat klinik dan sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pembaikan sebuah sekolah daif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar mengulangi pendirian bahawa Kerajaan Persekutuan tekad menoktahkan masalah kemiskinan tegar yang didapati masih membelenggu golongan rakyat tertentu di negara ini tanpa mengira latar belakang, kawasan dan negeri termasuklah Kedah.

Beliau berkata, Kedah mencatatkan bilangan Miskin Tegar sebanyak 11,742 ketua isi rumah (KIR) dengan bilangan Miskin Tegar adalah sebanyak 1,589 KIR di Kubang Pasu.

Sehubungan itu, Anwar meminta agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencapai matlamat tersebut.

Sebelum itu, Anwar menyerahkan replika cek peruntukan tambahan sebanyak RM3.07 juta untuk pembinaan Masjid Baharu Changlun.

"Pada asalnya,projek ini telah diluluskan pada tahun 2017 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 juta namun pelaksanaan projek ini telah mengalami kelewatan kemajuan fizikal disebabkan beberapa faktor sehingga perlu dibuat penamatan kontrak.

"Atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan, saya merasakan masjid ini perlu disiapkan dengan segera bagi memberi manfaat kepada kariah setempat,"katanya.

Menurut beliau, tambahan peruntukan ini menjadikan kos keseluruhan bagi projek ini bernilai RM5.77 juta yang mengambil kira baki semasa projek terdahulu sebanyak RM2.77 juta.