MB Selangor selar tindakan gugat Kerajaan Perpaduan

Amirudin berucap semasa Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi di sini pada malam Jumaat.
Amirudin berucap semasa Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi di sini pada malam Jumaat.
A
A
A

BANGI - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyelar tindakan pihak tertentu cuba menggugat Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Amirudin berkata, pihak terbabit memberi bayangan sekiranya mereka menang PRN di enam negeri, maka pentadbiran Putrajaya juga bakal tergugat.

"Selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), semua tahu tentang situasi yang berlaku dan ada gesaan (daripada) Yang di-Pertuan Agong, agar kita tubuh sebuah kerajaan padu serta stabil supaya negara boleh dipulihkan.

"Tetapi malangnya ada yang menolak, malah sampai ke malam ini masih berusaha untuk terus menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang menjamin kestabilan dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat malam.

Amirudin berkata, pihak terbabit ketika ini berkempen pada PRN di enam negeri dengan memulakan episod baharu pengkhianatan dan ketidakstabilan dalam negara.

"Orang-orang ini tidak boleh tengok keadaan aman dan stabil (kerana) bukan sedikit serangan dibuat," ujar beliau.

Beliau memberitahu, atas sebab itu pihak terbabit merasakan betapa pentingnya mereka untuk menawan enam negeri termasuk di Selangor ini.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk mengekalkan tampuk pemerintahan dan mentadbir negeri ini selepas PRN.

"Dalam himpunan ramai ini, kita hendak beritahu Perikatan Nasional yang tidak sudah-sudah merosakkan kestabilan dalam negara, kamu tunggu 12 Ogos ini, Kerajaan Perpaduan akan kekal dan dipertahankan," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, semua jentera Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan terbaik sama seperti dinyatakan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Jika dalam ucapan (Megat Zulkarnain) tadi akan pastikan semua jentera dan penyokong BN menyokong PH, insya-ALLAH, saya sudah beri arahan bersedia bekerjasama dengan BN untuk kita pertahankan benteng dan kubu Kerajaan Perpaduan (di Selangor) ini," jelas Amirudin.

Katanya, rundingan kerusi membabitkan PH dan BN juga sudah selesai di peringkat negeri dan kedua-dua Presiden parti berkenaan.

"Kita akan bergerak sederap, selangkah seirama untuk terus mempertahankan Selangor daripada pengkhianat dan perosak negara," tambahnya.