Khidmat Pusat Dialisis PERKESO Klang dipuji

Beroperasi dengan enam buah mesin dialisis yang menggunakan teknologi terkini

A
A
A

Sivakumar (tengah) menyantuni seorang pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di Pusat Dialisis PERKESO Klang pada Khamis.
Sivakumar (tengah) menyantuni seorang pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di Pusat Dialisis PERKESO Klang pada Khamis.

Berikutan ekonomi negara yang mencabar pada tahun 1998, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan bantuan untuk meringankan beban kerajaan dengan menanggung kos rawatan dialisis secara subsidi kepada pencarum di bawah Skim Keilatan yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir.

Pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir ketika itu boleh mendapatkan rawatan dialisis menerusi panel lantikan PERKESO di sembilan negeri, iaitu Johor, Melaka, Selangor, Perak, Kedah, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang dan Negeri sembilan, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pencarum yang tinggal di negeri lain atau berdepan kekangan aspek pengangkutan juga boleh mengemukakan permohonan Surat Jaminan Kemudahan Bantuan Dialisis PERKESO untuk menjalani rawatan di pusat selain daripada diperuntukkan dalam senarai, manakala kaedah bayaran adalah secara Bayaran Ganti Belanja (BGB) pada kadar ditetapkan PERKESO.

Pasca lebih dua dekad, liputan perkhidmatan dialisis diperluaskan ke seluruh pelosok negara, namun kos rawatan menunjukkan pola peningkatan setiap tahun selari dengan bilangan penerima kemudahan dialisis.

Dijangkakan bagi tempoh lima tahun akan datang, kos rawatan dialisis meningkat melebihi RM400 juta berbanding RM334.67 juta pada tahun 2022, dengan purata peningkatan sebanyak 5.7 peratus setahun.

Menyedari keperluan para pesakit buah pinggang, PERKESO telah mencipta sejarah tersendiri apabila membuka pusat dialisis pertama miliknya di Klang, Selangor pada Khamis lalu.

Perasmiannya yang serentak dengan pembukaan pejabat Perkeso Klang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Teknologi terkini

Buat masa ini, Pusat Dialisis PERKESO Klang beroperasi dengan enam buah mesin dialisis yang menggunakan teknologi terkini.
Buat masa ini, Pusat Dialisis PERKESO Klang beroperasi dengan enam buah mesin dialisis yang menggunakan teknologi terkini.



Buat masa ini, Pusat Dialisis PERKESO (Cawangan Klang) beroperasi dengan enam buah mesin dialisis yang menggunakan teknologi terkini sama seperti yang digunakan oleh pusat dialisis lain serta mampu merawat 25 pesakit setiap hari menerusi dua syif.

Menurut Sivakumar, penubuhan dialisis milik PERKESO ini adalah satu langkah tepat bagi menjimatkan aspek perbelanjaan di mana ia boleh disalurkan semula dalam bentuk faedah lain kepada pencarum.

Antara kelebihan yang ditawarkan di Pusat Dialisis PERKESO adalah tiada caj tambahan dan tiada deposit dikenakan kepada pesakit atau dengan kata lain mereka tidak perlu menggunakan perbelanjaan Out-OfPocket (OOP).

Selain itu, suntikan Erythropoietin (EPO) iaitu sejenis hormon yang bertujuan untuk merangsang penghasilan sel darah merah diberikan secara optimum kepada pesakit, memandangkan pesakit buah pinggang berdepan masalah untuk menghasilkan hormon ini dengan sendiri.

Govidasamy menerima layanan baik oleh jururawat ketika berada di Pusat Dialisis PERKESO Klang.
Govidasamy menerima layanan baik oleh jururawat ketika berada di Pusat Dialisis PERKESO Klang.

Pusat Dialisis PERKESO juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma, dari pintu rumah pesakit ke pintu pusat dialisis.

Tambahan lagi, kos ujian darah yang dilakukan pesakit dialisis bagi tempoh tiga bulan sekali juga tidak dikenakan caj kepada pesakit.

Sivakumar berharap Pusat Dialisis PERKESO ini akan menjadi model pengurusan dialisis di negara ini, seiring dengan lebih 700 panel pusat dialisis, sekali gus berupaya meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kepada pesakit buah pinggang di Malaysia.

Rawatan secara percuma

Rata-rata pencarum PERKESO yang menghidapi penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis melahirkan rasa syukur apabila berpeluang menerima rawatan secara percuma di Pusat Dialisis PERKESO Klang.

MUHD THAQIF
MUHD THAQIF



Pekerja operator kilang, Muhd Thaqif Muhd Azlan, 35, memberitahu bantuan itu ibarat sinar baharu kepadanya dan keluarga untuk meneruskan hidup sebagai pesakit buah pinggang.

Dia sebenarnya sudah putus harapan apabila disahkan menghidap sakit buah pinggang malah semakin kecewa apabila mengetahui kos dialisis sangat mahal iaitu kira-kira RM400 setiap kali rawatan.

“Mana saya nak dapat duit sedangkan gaji saya tidak sampai RM2,000, mahu tanggung anak-anak dan keluarga lagi. Jadi, saya tidak terfikir untuk buat dialisis namun alhamdulillah dengan adanya bantuan daripada PERKESO ini saya benar-benar lega.

“Ini kali pertama saya buat (dialisis), sebelum ini kesihatan saya kerap terjejas dan tidak dapat pergi kerja, ia sangat merunsingkan saya. Kini, saya boleh terus mencari rezeki,” katanya.

LEONG THEAM LEE
LEONG THEAM LEE



Sementara itu, Leong Theam Lee, 54, yang bekerja sendiri berpendapat, mencarum di PERKESO sangat penting untuk melindungi diri sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya walaupun bekerja sendiri tetap mencarum dan kini saya tidak menyesal kerana telah menerima manfaatnya seperti dapat menjalani rawatan dialisis secara percuma.

“Cuba bayangkan kalau saya tidak mencarum, dengan pendapatan hanya RM1,000 sebulan saya tak mampu lakukan di hospital lain. Saya harap orang lain juga akan ambil langkah bijak dengan mencarum di PERKESO,” jelasnya.

M. Govindasamy, 49, pula sebelum ini mendapatkan rawatan dialisis di hospital swasta dengan kos yang sangat tinggi serta membebankan.

GOVINDASAMY
GOVINDASAMY

“Setiap minggu saya mesti buat dialisis dan perlu bayar RM210 setiap kali rawatan. Namun kini, saya sangat gembira kerana diberi rawatan percuma. PERKESO sememangnya terbaik,” ujarnya.

Bagi membawa lebih banyak manfaat kepada pesakit yang memerlukan, PERKESO berhasrat untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu Pusat Dialisis PERKESO di setiap negeri di Malaysia.

Kini, terdapat tiga Pusat Dialisis PERKESO yang telah mula beroperasi iaitu Cawangan Klang (Selangor), Cawangan Kluang (Johor) dan Cawangan Batu Pahat (Johor).

Dengan rangkaian Pusat Dialisis PERKESO, ia diyakini dapat mengukuhkan kemampanan dana keselamatan sosial, seterusnya menjana penjimatan yang kemudiannya dapat disalurkan semula dalam bentuk bantuan faedah kepada Orang Berinsurans.

Inisiatif ini juga penting bagi membantu meringankan beban Orang Berinsurans, terutamanya golongan B40.