Dipelawa sertai PN, Pemuda MCA Perak kata 'terima kasih saja lah'

Daniel Wa
Daniel Wa
A
A
A

IPOH - MCA tidak mahu melayan sebarang provokasi yang dimainkan pembangkang terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Perkara itu termasuklah pelawaan daripada Pas Perak agar MCA menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How berkata, pihaknya menghargai keprihatinan parti lain terhadap MCA, namun tidak akan terpedaya dengan pelawaan tersebut.

"Terima kasih atas jemputan, tapi MCA menjunjung titah YDPA (Yang di-Pertuan Agong) untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mempelawa dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC untuk menyertai PN susulan keputusan tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Menurut Razman, penyertaan MCA dan MIC dalam PN diyakini mampu menarik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi kaum masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam PRN nanti sekiranya dua parti itu meninggalkan BN.