Prosiding rayuan Rosmah ketepi sabitan kes solar ditangguh

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan dalam kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto Bernama
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan dalam kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Prosiding rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berhubung kes projek solar hibridnya, di Mahkamah Rayuan di sini yang dijadualkan pada Isnin hingga Khamis minggu depan, ditangguhkan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi sebulat suara membenarkan penangguhan itu selepas peguam, Datuk Jagjit Singh memaklumkan permohonan anak guamnya, dibuat dengan niat baik tanpa bertujuan melengahkan prosiding rayuan.

Semasa memutuskan demikian, Azizah berkata, ini merupakan kali pertama Rosmah meminta untuk menangguhkan prosiding.

Ia sementara menunggu kes rayuannya berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding itu ditunda,” katanya ketika bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S Komathy.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pengurusan kes berkenaan pada 18 September depan.

Semasa prosiding pendengaran permohonan Rosmah untuk menangguhkan rayuan, Jagjit Singh berkata, perkara itu dibuat bagi memberi laluan kepada satu lagi kes di Mahkamah Persekutuan berhubung kelayakan mendiang Sri Ram dalam pasukan pendakwaan terbabit.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya K Mangai mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.

Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Rosmah sekali lagi memfailkan permohonan mencabar pelantikan Sri Ram itu di Mahkamah Persekutuan di sini pada 5 Julai, melalui Tetuan Akberdin&Co.

Rosmah, 72, yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.

Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September tahun lepas, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman terhadapnya dan Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu.

Semasa perbicaraan kes itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Poh Yih Tinn.

Selain Jagjit Singh, pihak pembelaan juga dibarisi peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork.