[VIDEO] Makmal dadah didalangi dua beradik tumpas

Mohd Yusri menunjukkan rampasan dadah dan peralatan hasil serbuan di sebuah gudang yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah di Jelapang pada Rabu.
Mohd Yusri menunjukkan rampasan dadah dan peralatan hasil serbuan di sebuah gudang yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah di Jelapang pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah yang didalangi dua beradik dalam serbuan di sebuah gudang di Jelapang dekat sini pada Rabu.

Serbuan sekitar jam 3 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu merampas dadah bernilai RM672,649.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, antara dadah dirampas adalah methamphetamine seberat 155 gram, jenis heroin (52.3 gram) dan cecair disyaki methamphetamine (47.58 liter).

Menurutnya, turut dirampas bahan-bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah antaranya alat penimbang, dapur gas, periuk dan menyita sebuah lori serta empat motosikal.

"Siasatan dijalankan mendapati sindiket ini mula aktif dalam aktiviti pemprosesan dadah sejak awal tahun ini untuk edaran pasaran tempatan di seluruh Perak.

"Semua bahan-bahan kimia yang digunakan bagi aktiviti itu disyaki diperolehi daripada pembekal di utara tanah air," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mohd Yusri menunjukkan peralatan digunakan sindiket bagi tujuan memproses dadah.
Mohd Yusri menunjukkan peralatan digunakan sindiket bagi tujuan memproses dadah.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan enam lelaki tempatan termasuk dua beradik berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun.

Katanya, kesemua mereka yang antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan, penjaga kolam ikan dan pemotong rumput terlibat menjalankan operasi premis dengan aktiviti memproses dadah.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati, keenam-enam suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

"Semakan juga mengesahkan kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.

Mohd Yusri berkata, enam lelaki berkenaan direman selama tujuh hari sehingga 11 Julai ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujar beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa polis.

"Dalam kebanyakan kes sebelum ini, kita merampas dadah siap diproses sama ada dalam bentuk ketulan atau biji.

"Kali ini kita berjaya tumpaskan sindiket pemprosesan dan rampasan melibatkan bahan cecair yang belum diproses sebagai dadah yang lain," katanya.