Remaja cekik adik: Pengetua dipanggil beri keterangan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka telah memanggil pengetua sekolah yang didakwa berlaku kes buli hingga menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun mencekik adiknya hingga mati.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pertemuan antara pengetua dengan pengarah JPN itu bagi mendapatkan pencerahan dan penjelasan berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung kes itu kerana ia masih dalam siasatan pihak polis selain dikhuatiri akan mengganggu emosi keluarga mangsa yang masih bersedih kehilangan ahli keluarga.

Katanya, walau apa pun dalam isu ini kanak-kanak terbabit bukanlah meninggal dunia kerana dibuli.

"Buli itu adalah elemen yang kedua, maka sebab itu kita tengah buat siasatan... kita tengah kumpul maklumat bukan sahaja di peringkat polis tetapi juga di peringkat Jabatan.

"Kita akan semak, kita akan kaji segala kebarangkalian," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, untuk mengaitkan kejadian tersebut dengan isu buli bukan satu yang mudah dan ia perlu dibuktikan.

"Yang kedua, adakah dibuli yang menyebabkan dia mengalami gangguan mental atau ada sebab-sebab lain," katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu di sini, pada Rabu.

Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung daripada empat beradik itu mencekik adiknya.

Sementara itu bapa mangsa, Najli Yakob, 42, mendakwa kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau sebelum berakhir dengan tragedi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 9 tahun maut dicekik abang

Adik maut dicekik: Abang mangsa buli di asrama

Remaja cekik adik, tidak ada masalah disiplin - Polis