Jualan Rahmah: Tiada istilah untung rugi

A
A
A

Jualan Rahmah yang ditawarkan pasar raya utama termasuk AEON mendapat sambutan daripada rakyat yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan.
Jualan Rahmah yang ditawarkan pasar raya utama termasuk AEON mendapat sambutan daripada rakyat yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan.

Para peniaga khususnya pengusaha pasar raya besar tanpa mengira untung rugi perniagaan, sanggup dan bersedia menyokong agenda Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 menghadapi cabaran kos sara hidup dengan melaksanakan Jualan Rahmah.

Jualan Rahmah yang menawarkan barang keperluan dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran, memerlukan penglibatan lebih banyak pemain industri sektor peruncitan tempatan.

Dalam memastikan inisiatif itu benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, para peniaga diharap tidak mengambil kesempatan semata-mata dengan menggunakan slogan Jualan Rahmah.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, produk Jualan Rahmah sepatutnya dijual dengan harga yang murah iaitu di bawah kos.

“Kalau kos RM50 tetapi barang dijual dengan harga RM90, itu bukan Rahmah. Jangan guna nama Jualan Rahmah jika harga masih mahal.

AMEER ALI
AMEER ALI

“Tidak semua barang kita jual dengan harga murah (Jualan Rahmah). Jadi, dengan keuntungan itu kita dapat menampung barangan Jualan Rahmah.

“Contohnya dalam musim perayaan, kita jual 200,000 baju Melayu, daripada jumlah tersebut apa salahnya kita ambil 10,000 dan jual dengan harga Jualan Rahmah iaitu RM30 berbanding harga asal RM89,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Menurut Ameer Ali, Mydin mengadakan Jualan Rahmah seminggu sekali terutama pada hujung bulan termasuk mengikut musim seperti sambutan Aidilfitri, Aidiladha, Back To School dan Baby Fair.

Selain Jualan Rahmah, Mydin turut mengadakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Mydin prihatin untuk membantu anak yatim, ibu tunggal, pelajar dan sebagainya.

Misi utama AEON

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Co (M) Bhd (AEON), Keiji Ono memberitahu bahawa inisiatif Jualan Rahmah merupakan salah satu misi utama syarikat bagi menawarkan pilihan barang bermutu dan bernilai kepada pelanggan.

KEIJI ONO
KEIJI ONO

Menurutnya, ia seiring dengan hasrat kerajaan bagi kelangsungan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi masa kini.

“Kami percaya dengan mengambil bahagian (Jualan Rahmah), syarikat bukan sahaja membantu pelanggan meneruskan kehidupan seharian, malah dapat merancakkan sektor ekonomi negara.

“Di bawah Jualan Rahmah, AEON dan juga AEON BiG telah menawarkan lebih 100 produk terpilih dijual pada harga yang lebih rendah. Antaranya beras, mi segera, minyak masak, makanan proses, keperluan mandian dan banyak lagi keperluan asas lain,” ujarnya.

Pihaknya tidak menentukan kekerapan Jualan Rahmah namun sentiasa komited untuk melancarkan inisiatif-inisiatif bagi membantu masyarakat.

“Kesemua pelanggan kami termasuk golongan B40 ini mendapat harga dan nilai terbaik setiap hari mereka berbelanja di AEON. Terkini ialah Jualan Rahmah Kasih Sayang yang telah berlangsung dari 6 Mac hingga 6 Jun.

“Kami juga telah menyumbang RM168,000 dalam bentuk barang keperluan harian dan persiapan Ramadan serta Aidilfitri untuk 1,140 keluarga B40 dan golongan miskin tegar selama tiga bulan,” jelasnya.

MAS IMRAN
MAS IMRAN

Bagi Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam, tanggungjawab untuk membantu masyarakat bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi golongan peniaga juga.

Katanya, dengan penurunan lebih 10 peratus harga barang keperluan asas, ia dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang terutama golongan B40.

“Kalau mahu kata untung rugi itu, Insya-ALLAH, masih boleh tampung lagi tetapi apa yang penting tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Orang ramai sangat menantikan program ini,” katanya.

Econsave biasanya mengadakan Jualan Rahmah seminggu atau dua minggu sekali bergantung kepada cawangan pasar raya.

Beliau menyarankan kerajaan memperbanyakkan stok minyak masak paket bagi membantu mengurangkan beban golongan B40.

"Minyak paket ini sangat terhad di pasaran, sedangkan golongan B40 memang memerlukannya," katanya.

Layari www.belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.

#Belanjawan2023

#BelanjawanMADANI

REAKSI RAKYAT

MUHAMMAD AZLAN
MUHAMMAD AZLAN



“Jualan Rahmah adalah satu inisiatif kerajaan yang sangat bagus untuk bantu golongan B40. Dapatlah jimatkan wang ketika berbelanja.” - Muhammad Azlan Mohd Ariff@Aris, 33 (Kakitangan swasta)

SITI MARDIANA
SITI MARDIANA

“Ketika ini kita sedia maklum masyarakat terbeban dengan kos sara hidup. Saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.” - Siti Mardiana Mohd Noor 34 (Kakitangan swasta)

MUHAMMAD HAKIM
MUHAMMAD HAKIM

“Pasar raya menawarkan harga barangan lebih murah sekali gus mengurangkan bebanan kos sara hidup penduduk terutama di bandar.” - Muhammad Hakim Zailani, 19 (Pemain bola)

MUHAMMAD SYAMIL
MUHAMMAD SYAMIL

“Jualan Rahmah sangat membantu pelajar berjimat cermat dalam perbelanjaan harian. Apatah lagi barang semuanya mahal.” - Muhammad Syamil Zaidi, 20 (Pelajar)