Wanita PKR muktamad calon dalam mesyuarat khas

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KUALA SELANGOR - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memuktamadkan calon sayap itu dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos depan.

Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah selesai mengenal pasti calon berpotensi untuk ditampilkan dalam PRN.

"Proses memilih calon wanita PKR telah selesai dan kita hanya menunggu untuk dimuktamadkan sepenuhnya sebelum penamaan calon," katanya selepas ditemui selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai 30 peratus kuota diperuntukkan PKR kepada sayap wanita, Fadhlina berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Bagaimanapun, kalau dapat lebih (kerusi untuk diberikan kepada calon wanita) kita terima," jelas beliau.

Sebelum ini sayap wanita PKR menyasarkan kuota 30 peratus calon wanita daripada sayap parti itu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang PRN.