Pesan Sanusi kepada Anwar: Angan-angan itu percuma

Muhammad Sanusi (kiri) dan Anwar (kanan)
Muhammad Sanusi (kiri) dan Anwar (kanan)
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersilakan mana-mana pihak yang berhasrat merampas Kedah untuk mencuba nasib dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata, impian mahupun usaha untuk bersaing secara sihat adalah percuma dan tidak menyalahi undang-undang.

“Angan-angan itu adalah percuma. Berangan tak kena duit. Sila lah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan merampas dua negeri pembangkang pada PRN tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan dua negeri tersebut dan memaklumkan ia berdasarkan kajian dan maklumat diperoleh.

Anwar juga yakin tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kekal diperintah gabungan itu.

PRN ke-15 menyaksikan tiga negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ditadbir PH, dijangka berdepan saingan sengit pada 12 Ogos depan.

Sementara Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN mampu mencipta kejutan menawan Kedah dan Terengganu pada PRN jika semua ahlinya bersatu hati dan tidak mengamalkan budaya 'cah keting' kerana menyifatkan dua negeri terbabit sebagai 'swing state'.

Muhammad Sanusi sebaliknya optimis PN mampu mempertahankan tiga negeri ditadbir gabungan itu, malah berupaya mencipta kejutan dengan merampas negeri PH.

“PN bekerja untuk tadbir enam negeri selepas PRN. Kita bekerja ke arah itu (rampas tiga negeri PH),” ujarnya.

Mengulas mengenai keyakinan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar bahawa gabungan itu mampu merampas Kedah dari PN, sekiranya berlaku peralihan 10 peratus undi, beliau menyifatkan ia sesuatu yang mustahil.

“Mahfuz kata kalau 'swing' 10 peratus sokongan, mereka dapat 16 kerusi. Ini bermakna PN dapat 20 kerusi sebab keseluruhan 36 kerusi.

“Kalau 'swing' seperti itu, PN lah yang menang sebab lebih banyak kerusi, jadi PN yang jadi kerajaan. Kalau berlaku pun peralihan sokongan 10 peratus, mereka (PH) tak boleh jadi kerajaan sebab nak tubuh kerajaan perlu ada sekurang-kurangnya 19 kerusi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, seeloknya PH dan BN kekal memainkan peranan sebagai pembangkang di negeri ini.

“Tak usah susah payah nak swing, ingat senang mereka nak dapat 10 peratus itu, dengan keadaan PH dan BN masih berselerak. Agihan kerusi tak selesai, calon MB tak tahu siapa sebab ramai sangat mahu jawatan tu,”ujarnya.