Dibunuh, mayat disorok dalam but kereta

Mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam but kereta di Taman Sri Orkid, Seksyen 30 pada Selasa.
Mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam but kereta di Taman Sri Orkid, Seksyen 30 pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki dibunuh sebelum mayatnya dijumpai di dalam but kereta di Taman Sri Orkid, Seksyen 30 di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, penemuan mayat mangsa disedari orang awam pada jam 3.25 petang selepas terhidu bau busuk pada kereta jenis Honda City yang ditinggalkan kira-kira dua hingga tiga hari lalu.

Menurutnya, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terikat dan berbungkus plastik.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun.

"Semakan juga mendapati kereta itu didaftarkan atas nama mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Susulan itu, Ramsay menegaskan, pihaknya telah memberkas tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an pada hari yang sama berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 7 petang.

"Disyaki punca pembunuhan itu berkait dengan cemburu, bagaimanapun siasatan masih dijalankan," ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek kini direman enam hari bermula Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025," katanya.