Hussamuddin dilantik Pengerusi Raudhah City Sdn Bhd

Hussamuddin bersama Mohd Fadzil ketika melawat unit rumah contoh. - FOTO ROSLI TALIB
Hussamuddin bersama Mohd Fadzil ketika melawat unit rumah contoh. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMASKINI] Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dilantik sebagai Pengerusi Raudhah City Sdn Bhd.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Hussamuddin berkata, konsep Bandar Moden Islam Pertama di Malaysia yang diketengahkan syarikat perumahan tersebut menarik minatnya untuk menerima tawaran pelantikan tersebut.

“Sebelum ini saya mendengar banyak perkara mengenai Raudhah City dan Brainy Bunch. Hari ni saya berkesempatan melihat sendiri apa yang kumpulan ini telah capai dan ternyata hasilnya sangat luar biasa.

“Jadi saya bersetuju untuk bergabung dengan Raudah City kerana saya melihat perjuangan mereka dan apa yang sedang saya dan Karangkraf perjuangkan adalah hampir sama,” katanya pada sidang media khas Raudhah City di sini hari ini.

Katanya, seiring dengan perjuangannya melalui program #QuranHour yang telah dimulakan sejak 2016, konsep kediaman bercirikan Islam yang diketengahkan Raudhah City adalah salah satu tafsiran bagaimana al-Quran dapat membina sebuah masyarakat madani.

“Ini bermakna kita sedang menukar ekosistem. Bila kami gerakkan #QuranHour, kami mahu memberi impak kepada orang Islam supaya memahami Islam melalui bacaan dan fahami al-Quran.

“Faktor utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan itu ialah dengan mewujudkan satu komuniti yang mempunyai matlamat yang sama iaitu menjadikan al-Quran sebagai satu cara hidup,” katanya.

Mohd Fadzil bersama Hussamuddin dan kakitangan Raudhah City bergambar selepas melawat unit rumah contoh. - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Fadzil bersama Hussamuddin dan kakitangan Raudhah City bergambar selepas melawat unit rumah contoh. - FOTO ROSLI TALIB

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Raudhah City pastinya akan menjadi mercu tanda dan juga penanda aras kepada pembangunan ketamadunan masyarakat Islam moden yang baharu di masa hadapan.

“Bagi saya ini satu usaha yang mulia dan saya yakin Raudhah City boleh dijadikan sebagai model yang berjaya.

“InsyaALLAH saya akan cuba bantu sebanyak mungkin berdasarkan pengalaman yang ada, “ katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn Bhd, Mohd Fadzil Hashim menyifatkan pelantikan itu bertepatan dengan konsep yang dibawa syarikat perumahan itu yang menawarkan konsep Bandar Moden Islam di Malaysia.

“Pastinya penyertaan beliau ini mampu memberi tunjuk ajar sebagai ketua untuk kami bersama-sama menjayakan fasa Raudhah Ville di Cyberjaya yang menawarkan 300 unit rumah mewah mampu milik serta fasa-fasa seterusnya.

“Saya bersyukur dan yakin dengan kepimpinan beliau untuk bersama-sama memperjuangkan melahirkan generasi Islam yang baharu,” katanya.

Katanya, selain menawarkan rumah mewah melalui projek Raudhah Ville, Raudhah City turut memperuntukkan rumah mampu milik melalui projek fasa ke tiganya.

“Kita sasar untuk projek fasa ke tiga ini akan siap sepenuhnya pada 2025 ini kerana ia dilakukan secara berperingkat.

“Kita juga tidak bercakap mengenai rumah sahaja, tapi pembinaan pusat membeli belah berkonsepkan syariah turut kita laksanakan,” katanya.