Young Tigers benam kelab Western Australia

Pemain negara (dua dari kiri) cuba melepasi kawalan pemain Western Australia dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
Pemain negara (dua dari kiri) cuba melepasi kawalan pemain Western Australia dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan siri perlawanan persahabatan dengan langkah kanan selepas membenam cabaran Kelab Western Australia 3-1 pada Selasa.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu menyaksikan pemain pertahanan T Prabu muncul wira apabila mencetak dua jaringan.

Skuad kendalian Muhamad Amin Rahim membuka tirai jaringan pada babak kedua perlawanan menerusi penyerang Mohammad Harris Iskandar Osman yang menyumbat gol padang pada minit ke-17 sebelum pasukan lawan menyamakan kedudukan menerusi Fletcher Wetherell pada minit ke-28.

Kelab Western Australia kemudian dihukum apabila Prabu mencipta jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43 dan 50 sebelum wisel penamat dibunyikan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Muhamad Amin berkata, anak buahnya menampilkan aksi memberangsangkan meskipun mengakui mereka masih keletihan selepas pulang dari Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman baru-baru ini.

"Saya rasa ini persembahan yang baik ditunjukkan pasukan selepas pulang dari Oman. Kita nak mereka (pemain), walaupun main dalam kesakitan dan kepenatan, tapi menunjukkan permainan yang baik. Itu kita mahu. Banyak elemen perlu ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Skuad Young Tigers dijadualkan bertemu lagi dengan Kelab Western Australia dalam perlawanan persahabatan pada Rabu, Jumaat dan Sabtu sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur Disember depan.

Malaysia dijangka berdepan laluan sukar bagi melepasi saingan peringkat kumpulan seterusnya layak ke suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina, bekas juara Australia serta Chile di kejohanan dunia berprestij yang berlangsung pada 5 hingga16 Dis depan.

Pencapaian terbaik skuad Young Tigers dalam kejohanan tersebut adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1979 di Versailles, Perancis; edisi 1982 ketika menjadi tuan rumah dan edisi 2013 di New Delhi, India. - Bernama